Sokongan Melayu kepada PH naik 50% – Ir Nizar
Pakatan Harapan (PH) diyakini akan memenangi pilihan raya umum (PRU) ke 14 sekiranya pemerintah tidak melaksanakan taktik kotor sepanjang tempoh berkempen dan mengundi.
Keyakinan itu dinyatakan oleh bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin. Menurut ADUN Changkat Jering itu, daripada tinjauan yang dilakukan parti Amanah, peratusan sokongan Melayu kepada PH sekitar 50%; Cina 80% dan India 60%. Ini bererti PH akan memenangi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).
“Oleh sebab demikian maka PM Najib masih belum lagi membubarkan Parlimen. Justeru itu, sama ada PRU14 diadakan pada tahun ini atau pun tahun hadapan, BN akan kalah kerana rakyat letih dengan kos sara hidup yang tinggi terutamanya harga minyak dan harga minyak masak serta barang keperluan harian.
“Orang ramai dari semua lapisan masyarakat sering beritahu saya mereka akan sokong PH dalam pilihan raya umum kali ini,” kata Nizar kepada Suara pakatan daily.
Beliau juga berpendapat sokongan ke atas BN semakin hari semakin kurang kerana rakyat telah hilang keyakinan bahawa BN mampu mentadbir negara. Oleh itu, kata Nizar, sebahagian pemimpin BN juga tidak lagi yakin mereka akan menang.
“Pemimpin BN hari-hari serang Pakatan tetapi mereka sendiri tiada cadangan untuk meringankan beban rakyat. Langsung tiada arahan untuk menurunkan harga barang kecuali untuk musim perayaan sahaja. Selepas itu, harga barang naik seperti kilat,” kata Nizar lagi.
Timbalan Pengerusi Amanah Perak itu berkata ‘tsunami rakyat’ akan berlaku dalam PRU 14 kerana rakyat “sudah terlalu bosan dengan BN”.
“Kami hanya tunggu isyarat untuk PRU14 sahaja. Semakin lama PM Najib tunggu, semakin parah situasi ekonomi negara.
“Pelabur asing ramai yang beritahu saya mereka hilang keyakinan terhadap BN sebab itu PM takut untuk membubar Parlimen.
“Sebagai sebuah negara yang diuar-uarkan sebagai ‘model demokrasi’ adalah kelakar apabila para pemimpinnya memberi gambaran takut untuk mengadakan pilihan raya. Imej ini patut dikikis.
“Kalau tidak, pelabur asing akan segan datang ke negara kita. Sekarang pun, golongan usahawan sedang merungut sebab pilihan raya yang ditunggu-tunggu masih belum datang lagi dan ini menjejaskan serta menyusahkan pelan kewangan mereka,” tambah Nizar.