JIKA INI BERLAKU. NYATA PAS AKAN SINGKIRKAN BERSATU SECARA DIAM.

 


CALON MB PERLIS - AGAR PN KEKAL HARMONI, BERSATU SEBAIKNYA TARIK DIRI


28 December 2025


Krisis politik di Perlis dijangka akan berakhir tidak lama lagi sebaik saja nama Menteri Besar yang baru diumumkan.


Tetapi, krisis itu sedikit sebanyak bukan saja mencalarkan imej PN,  bahkan juga mencetuskan bibit-bibit keretakan antara PAS dan Bersatu.


Ia bukan saja disebabkan tindakan lima Adun Bersatu menarik sokongan terhadap Shukri Ramli sebagai Menteri Besar bersama tiga lagi Adun PAS, bahkan juga kerana tiga nama daripada Bersatu  dihantar kepada Istana Perlis sebagai calon pengganti untuk menerajui negeri itu.


Namun demikian, episod mahu menyingkirkan Shukri itu sudah boleh dianggap berakhir berikutan tindakan  PAS mengumumkan tiga Adunnya yang turut menarik sokongan itu terhenti keahlian masing-masing, diikuti kemudian Shukri pula telah meletakkan jawatan.


Sisulan itu, PAS telah menghantar dua nama untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Perlis yang baru.


Berikutan tiga Adun PAS sudah dianggap terhenti keahlian dan kerusi mereka kosong serta PRK bakal diadakan pilihan raya kecil, PAS masih lagi mempunyai enam Adun, manakala Bersatu kekal lima orang.


Demi keadilan, PAS mendesak agar Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap lima Adun mereka itu, selain mahukan isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat PN akan datang.


Bersatu melalui kenyataan Muhyiddin Yassin bagaimanapun mahu mendapatkan penjelasan daripada kelima-lima Adun berkenaan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut mahu diputuskan.


Yang dinanti-nanti kini ialah siapakah Menteri Besar baru yang akan diperkenankan oleh Raja Perlis?


Pelbagai laporan menyebut ia adalah sama ada antara dua Adun Pas yang dicalonkan oleh parti itu atau salah seorang daripada tiga Adun Bersatu yang nama mereka telah dikemukakan bersama penarikan sokongan terhadap Shukri sebelum ini?


Mengikut logik yang diperkukuhkan melalui persefahaman politik sedia ada, calon Menteri Besar Perlis sepatutnya kekal milik PAS. 


Ini kerana PAS memiliki kerusi DUN yang lebih banyak (9 orang) berbanding Bersatu (6 orang).


Selain itu, apabila tiga Adun PAS telah diumumkan terhenti keahlian mereka, calon daripada Bersatu yang dicalonkan sebagai Menteri Besar sebelum ini sudah dikira terbatal dengan sendirinya, di samping jumlah sokongan mereka juga tidak melebihi apa yang dipunyai PAS.


Sepatutnya lima Adun Bersatu itu tidak terus bersaing, tetapi mungkin mereka tidak berbuat demikian kerana masih berangan-angan tetap ada peluang untuk dilantik sebagai Menteri Besar.


Dalam ini, Bersatu harus melihat kepada masa depan dan lebih memikirkan keharmonian PN yang patut dikekalkan bagi mendepani PRU akan datang.


Makanya dan agar pemilihan Menteri Besar lebih mudah diputuskan oleh Istana Perlis, sebaiknya tiga Adun Bersatu itu segera mengumumkan menarik diri dengan serta merta.


Jika Adun berkenaan tidak berbuat demikian, lagi cantik kiranya  Bersatu pusat dapat mengarah dan mengumumkan ketiga-tiga Adun berkenaan menarik diri sebagai tanda menjaga semangat setiakawan dengan PAS.


Dengan penarikan diri itu, terserahlah kemudian kepada Istana Perlis untuk melantik salah seorang daripada dua nama yang telah dikemukakan oleh PAS sebagai Menteri Besar yang baru.


Melalui cara ini, isu perlantikan Menteri Besar Besar boleh dianggap selesai, hubungan PAS dan Bersatu kembali damai dan PN sebagai parti masa depan tidak lagi dilihat berserabai. – ShahbudinHusin 28Disember2025.


https://shahbudindotcom.net/2025/12/agar-pn-kekal-harmoni-bersatu-sepatutnya-tarik-diri-calon-mb-perlis/




No comments: