𝘒𝘦𝘯𝘺𝘢𝘵𝘢𝘢𝘯 𝘔𝘦𝘥𝘪𝘢
𝟭𝟴 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟱
𝗣𝗥𝗢𝗦𝗘𝗦 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗨𝗞𝗨𝗛𝗞𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗕𝗘𝗕𝗔𝗦𝗔𝗡 𝗕𝗔𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗛𝗔𝗞𝗜𝗠𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗟𝗨 𝗗𝗜𝗧𝗘𝗥𝗨𝗦𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗟𝗘𝗕𝗜𝗛 𝗚𝗜𝗚𝗜𝗛
Pengumuman bahawa Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baru sedikit meredakan kebimbangan awam mengenai isu-isu bersabit kebebasan badan kehakiman.
Bersama-sama dengan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, ia melengkapkan kepimpinan tertinggi badan kehakiman buat masa ini.
Reaksi awal kepada pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh adalah bercampur- campur, memandangkan latar belakang beliau yang pernah menjadi pemimpin Umno suatu ketika dahulu dan dilihat lebih junior berbanding sebahagian hakim-hakim yang lain.
Kami berharap sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, Datuk Wan Ahmad Farid menerima pelbagai pandangan ini dengan terbuka.
Ia sewajarnya menjadi pedoman dan dorongan untuk membuktikan kepimpinan beliau kelak akan mempertahankan kebebasan badan kehakiman dengan lebih baik, mengatasi rekod cemerlang Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menyandang jawatan itu sebelum ini.
Oleh itu, sebagai ahli-ahli parlimen, kami berharap kepimpinan badan kehakiman di bawah Datuk Wan Ahmad Farid akan meneruskan usaha mengukuhkan kebebasan badan kehakiman, dengan menyelesaikan isu-isu berikut yang telah timbul:
1) Memuktamadkan lantikan hakim-hakim untuk mengisi 31 kekosongan secepat mungkin, untuk mengelakkan tergendalanya perjalanan pentadbiran kehakiman;
2) Memastikan lantikan hakim-hakim adalah benar-benar berasaskan merit dan senarai kekananan, agar ia berlaku adil kepada hakim-hakim yang telah lama berkhidmat dan bertanggungjawab menjaga mutu dan nama baik badan kehakiman;
3) Memastikan lantikan hakim-hakim mengikut proses yang sewajarnya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta JAC, supaya pelantikan dibuat berasaskan merit dan senarai kekananan dengan sewajarnya;
4) Memastikan tidak ada campur tangan untuk mencatur, mengawal atau mempengaruhi lantikan hakim-hakim yang bertentangan dengan prinsip kebebasan badan kehakiman, Perlembagaan Persekutuan, Akta JAC mahu pun semangat tatacara yang perlu dipatuhi supaya proses lantikan adalah mengikut merit dan berlaku adil kepada hakim-hakim, dan
5) Menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan di dalam mesyuarat JAC sebelum ini, termasuklah tindakan susulan untuk menyiasat tuduhan cuba mempengaruhi keputusan kehakiman yang dibuat terhadap seorang hakim Mahkamah Persekutuan.
Kemelut pelantikan kepimpinan badan kehakiman mutakhir ini menunjukkan perlunya reformasi untuk mengukuhkan lagi proses lantikan hakim, supaya perkara ini tidak berulang lagi.
Kami berharap pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak memandang perkara ini telah selesai sepenuhnya, selagi penambahbaikan kepada proses lantikan badan kehakiman tidak dibentangkan kepada rakyat dan dilaksanakan.
Ini meliputi beberapa pandangan yang wajar diambil kira, termasuklah:
i. Cadangan supaya kuasa Perdana Menteri menolak senarai pencalonan dari JAC ditambahbaik, agar kuasa ini ada hadnya dan Perdana Menteri wajar memberi alasan rasmi (sama ada kepada JAC atau Parlimen) kenapa calon yang telah disaring oleh JAC ditolak;
ii. Cadangan supaya calon-calon dari badan guaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak dilantik secara automatik menganggotai JAC, seterusnya mengurangkan kuasa Perdana Menteri untuk melantik majoriti anggota JAC seperti sekarang; dan
iii. Cadangan supaya Parlimen dilibatkan dalam mengesahkan pencalonan dari JAC sebelum dibawa kepada Perdana Menteri, sama ada dalam bentuk pendengaran pengesahan (𝘤𝘰𝘯𝘧𝘪𝘳𝘮𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘩𝘦𝘢𝘳𝘪𝘯𝘨) seperti yang berlaku di negara-negara lain, atau dalam bentuk undi parlimen (mengikut mekanisme undian yang boleh ditentukan kelak).
Kami akan terus memberi perhatian kepada perkara-perkara ini supaya ada suara dari 𝘣𝘢𝘤𝘬𝘣𝘦𝘯𝘤𝘩𝘦𝘳𝘴 untuk memastikan proses reformasi ini dapat berjalan secara berterusan.
𝗞𝗲𝗻𝘆𝗮𝘁𝗮𝗮𝗻 𝗶𝗻𝗶 𝗱𝗶𝘁𝗮𝗻𝗱𝗮𝘁𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻𝗶 𝗯𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮, 𝗯𝗲𝗿𝘁𝗮𝗿𝗶𝗸𝗵 𝟭𝟴 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟱 𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗮𝗵𝗹𝗶-𝗮𝗵𝗹𝗶 𝗣𝗮𝗿𝗹𝗶𝗺𝗲𝗻 𝗞𝗘𝗔𝗗𝗜𝗟𝗔𝗡 𝗯𝗲𝗿𝗶𝗸𝘂𝘁:
𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜 𝗥𝗔𝗠𝗟𝗜, Ahli Parlimen Pandan
𝗡𝗜𝗞 𝗡𝗔𝗭𝗠𝗜 𝗡𝗜𝗞 𝗔𝗛𝗠𝗔𝗗, Ahli Parlimen Setiawangsa
𝗪𝗢𝗡𝗚 𝗖𝗛𝗘𝗡, Ahli Parlimen Subang
𝗥𝗢𝗗𝗭𝗜𝗔𝗛 𝗜𝗦𝗠𝗔𝗜𝗟, Ahli Parlimen Ampang
𝗭𝗔𝗛𝗜𝗥 𝗛𝗔𝗦𝗦𝗔𝗡, Ahli Parlimen Wangsa Maju
𝗕𝗔𝗞𝗛𝗧𝗜𝗔𝗥 𝗪𝗔𝗡 𝗖𝗛𝗜𝗞, Ahli Parlimen Balik Pulau
𝗦𝗬𝗘𝗗 𝗜𝗕𝗥𝗔𝗛𝗜𝗠 𝗦𝗬𝗘𝗗 𝗡𝗢𝗛, Ahli Parlimen Ledang
𝗦 𝗞𝗘𝗦𝗔𝗩𝗔𝗡, Ahli Parlimen Sungai Siput
𝗢𝗡𝗡 𝗔𝗕𝗨 𝗕𝗔𝗞𝗔𝗥, Ahli Parlimen Batu Pahat

No comments:
Post a Comment