
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, daripada statistik berkenaan, sejumlah 40 laman sesawang juga sudah disekat hasil maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam. Foto Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sejumlah 18,192 kandungan bersifat jelik termasuk iklan di platform media sosial sejak tahun 2022 sehingga 15 Januari lalu.
Ini merupakan satu lagi langkah proaktif agensi berkenaan dalam membanteras kandungan serta paparan tidak bermoral dalam usaha melindungi rakyat di platform media sosial.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil daripada statistik berkenaan, sejumlah 40 laman sesawang juga sudah disekat hasil maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam.
Katanya, dalam tempoh sama, sejumlah 5,026 laman sesawang judi dalam talian disekat, manakala 216,085 kandungan bagi perjudian dalam talian di platform media sosial diturunkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet.
“Kerajaan komited melaksanakan pemantauan proaktif dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan dalam talian yang dikenal pasti bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik yang melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia1998 [Akta 588].
“MCMC turut memberikan kerjasama kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang dan bantuan teknikal seperti pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi mempercepatkan proses siasatan kesalahan perjudian dalam talian di bawah peruntukan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 [Akta 289],” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan bagi menjawab pertanyaan, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar).
Kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam menangani isu ini pada ketika era digitalisasi kian menular di hampir setiap kehidupan harian rakyat.


No comments:
Post a Comment