16 October 2024
Berkuat kuasa semalam, ahli korporat Mohammed Shazalli Ramly secara rasmi dilantik sebagai penasihat media dan komunikasi strategik kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Pelantikan itu bagi menggantikan Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu.
Menurut pengumuman rasmi itu, Shazalli akan terus berkhidmat sebagai penasihat media Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), dan pada masa sama memantau hal ehwal media dan komunikasi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Tetapi siapakah Shazalli?
Jika anda rasa mengenalinya sebelum ini, ia mungkin kerana anda pernah melihatnya bermain perkusi dalam video muzik pilihan raya 2018 berjudul Hebatnya Negaraku yang menampilkan ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Hebatkan Negaraku pula adalah slogan BN untuk menghadapi PRU ke-14 dan menyaksikan gabungan berkenaan kecundang buat kali pertama dalam sejarah.
Pada masa itu, Shazalli merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Bhd.
Pada 2018, akhbar kewangan Edge Malaysia merujuk dia sebagai “guru imej” Najib yang “memainkan peranan penting dalam penjenamaan BN semasa PRU14”.
Pada umumnya Shazalli mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam GLC dan dunia korporat.
Sebelum menyertai Khazanah sebagai penasihat media, dia merupakan Pengarah Urusan Boustead Holdings Bhd (Boustead), sebuah firma milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Dia berkhidmat di syarikat berkenaan dari 2020 hingga 2021.
Pelantikannya di Boustead diumum pada 27 Nov 2020 iaitu tiga hari selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Pernah bertugas di NTV7
Pada masa itu, Boustead menyifatkan Shazalli sebagai “pakar pemulihan” dengan pengerusinya ketika itu, Mohamed Khaled Nordin, menyatakan keyakinan terhadap “rekod prestasi yang terbukti dalam transformasi korporat”.
Tahun lalu, dia dilantik sebagai pengarah syarikat penerbangan AirAsia X Bhd.
Shazalli menyertai Telekom Malaysia selepas lama berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, iaitu dari 2005 hingga 2016.
Celcom ialah anak syarikat Kumpulan Axiata. Pernah menjadi cabang Telekom Malaysia, ia kemudian menjadi syarikat sendiri pada 2018.
Walaupun kini mengisi jawatan sebagai penasihat media dan komunikasi, tugas terakhir Shazalli dalam syarikat media ialah hampir dua dekad lalu.
Ketika itu dia menjadi Ketua Pegawai Eksekutif NTV7 dari 1998 hingga Ogos 2005.
Kemudian Media Prima milik Umno mengambil alih stesen televisyen berkenaan pada Okt 2005.
Sebelum itu Shazalli adalah Pengarah Pemasaran Astro (1996 hingga 1997).
Dia mendapat pendidikan dalam bidang pemasaran. Lulusan Sarjana Muda Sains (Pemasaran) dari Indiana University Bloomington, Shazalli memulakan kerjayanya di Unilever dan British American Tobacco Co.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/722723