SURAT PALESU. TAPI ISI PULAK TAK PALESU.... NI SEMUA PALESU.




SURAT PALSU TAPI TIDAK PALSU ISINYA 

Sejak semalam, berlegar satu surat palsu menggunakan kepala surat Barisan Nasional Malaysia dan kononnya dikeluarkan oleh Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

Ia berkenaan larangan ke atas beberapa individu daripada turun berkempen dalam PRK Nenggiri.

Empat nama disebut dalam surat itu – Rafizi Ramli, Lokman Noor Adam dan dua lagi nama yang merupakan penggiat media sosial pro BN.

Dikatakan bahawa sebagai mengambil iktibar daripada kekalahan calon kerajaan perpaduan dalam PRK Sungai Bakap sebelum ini, maka sebab itulah larangan telah diambil ke atas empat penama tersebut daripada datang berkempen dalam PRK Nenggiri nanti.

Sekali lagi ditegaskan surat tersebut adalah palsu dan ia tidak pernah dikeluarkan sama ada oleh BN mahupun Zahid Hamidi.

Tetapi, meskipun palsu, kandungan surat tersebut tidak semestinya tiada kebenaran.

Dalam berkempen, tujuannya ialah untuk mendapatkan undi dan memperolehi kemenangan.

Dengan itu, ucapan, perbuatan atau tingkah laku tukang-tukang kempen mestilah tidak menyinggung hati pengundi.

Ucapan yang kasar, berlagak pandai, ala-ala kita betul dalam semua perkara kerana kita di pihak kerajaan, mencarut, memperbodohkan dan membahlulkan hadirin atau rakyat serta lain-lain perbuatan tidak sopan adalah larangan yang sepatutnya mudah difahami oleh semua tukang-tukang kempen.

Tak kira sama ada berkempen di media sosial atau di pentas ceramah, bersopan dan berbudi bahasa adalah prinsip utama yang mesti diamalkan jika mahu berbuat demikian.

Ini kerana tujuan berkempen adalah untuk mendapatkan undi dengan cara sedaya upaya mengambil hati pengundi, bukan menyakitkan hati mereka.

Lainlah jika datang berkempen untuk memastikan calon yang konon disokong itu ditimpa kekalahan, maka bolehleh bersikap kurang sopan tahap mana sekali pun ketika berkempen.

Sebab itu, tukang-tukang kempen yang terbukti pernah berkempen secara tidak sopan di mana-mana pun sebelum ini memang wajar dilarang daripada datang berkempen ke Nenggiri.

Tak kira siapa pun – berjawatan menteri atau tidak – jika kerajaan perpaduan mahu kepada kemenangan di Nenggiri, penegasan dalam larangan seumpama itu mesti dikuatkuasakan dengan ketat dan tanpa kompromi.

Sedemikian, meskipun surat yang berlegar itu adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh Zahid Hamidi, tetapi kebenaran isinya tidak boleh dinafikan dalam usaha untuk memastikan calon UMNO beroleh kemenangan di Nenggiri nanti.

Mungkin surat palsu ini dikeluarkan oleh pihak dalam kerajaan perpaduan sendiri yang benar-benar mahu melihat UMNO beroleh kemenangan, tetapi tiada cara lain untuk menyampaikannya.

Dalam hal ini tidak perlu dikeluarkan apa-apa surat lain berkaitan larangan itu, memadai dengan adanya arahan terbuka daripada “orang yang paling berkuasa” sepanjang kempen nanti iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Pengarah Kempen PRK Dun Nenggiri.

Ku Li wajar keluarkan arahan bahawa hanya pemimpin yang bersopan dan berbudi bahasa saja dibenarkan datang ke Nenggiri, yang lain-lain yang tidak berkenaan elok sekadar jejak kaki setakat ke R &R Gua Musang saja.

Sebagai rujukan, Ku Li sebelum ini telah pun memberitahu DAP agar jangan sesekali datang berkempen ke Nenggiri.

Beliau dipetik sebagai berkata, tidak ada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina itu untuk turun berkempen di kawasan yang “100% Melayu”.

“Bagi saya, logiknya, apa guna nak bawa DAP ke kawasan Melayu?

“Dia (DAP) cakap Melayu pun tak betul,” demikian antara kata-kata tegas Ku Li.

Dengan kata-kata tegas kepada DAP itu, nada yang sama patut juga dikeluarkan kepada parti-parti lain. – ShahbudinHusin 25July2024.

https://shahbudindotcom.net/2024/07/25/surat-palsu-yang-ada-kebenarannya.html