SEPATUTNYA MENTERI MANA SEKALIPUN USAH TERLIBAT DENGAN NEPOTISME. HANNAH YEOH SEDAR ATAU TIDAK? ATAU ADAKAH SUAMI HANNAH YEOH SESAR ATAU TIDAK?. INI MENCEMARKAN KERAJAAN MADANI.

 


MENDESAK HANNAH YEOH MELETAK JAWATAN ADALAH SAMA SEPERTI DESAKAN KEPADA SHAHRIZAT DAHULU 


DAP dan penyokong-penyokong PH secara umumnya menolak gesaan pelbagai pihak agar Hannah Yeoh meletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan susulan syarikat milik bersama suaminya diberikan kontrak pengangkutan oleh kerajaan negeri Selangor.


Mereka berhujah, tiada alasan untuk Ahli Parlimen Segambut itu berbuat demikian kerana kontrak diperolehi suaminya itu bukan daripada kementerian isterinya.


Bahkan, penyokong pekat PH turut menolak saranan agar Hannah Yeoh memberi respon terhadap isu melibatkan suaminya itu.


Kata mereka, tiada keperluan lagi untuk Hannah Yeoh memberi sebarang respon (mujur menteri itu baru memberi responnya sebentar tadi) lantaran KP SPRM, Azam Baki telah pun tampil mengatakan tiada kes untuk disiasat.


Ada penyokong PH yang lagi pekat pula berkata, isu tersebut bukan isu besar dalam negara untuk kita sibuk-sibuk mengenainya.


Ayoyooo….


Tetapi, kalau dibuat perbandingan, isu suami Hannah Yeoh ini sebetulnya lebih kurang sama saja dengan kes suami Shahrizat Jalil dahulu.


Suami Hannah Yeoh memperolehi kontrak daripada kerajaan negeri Selangor, sedangkan isterinya adalah Menteri Belia dan Sukan, manakala suami Shahrizat mendapat kontrak membela lembu daripada Kementerian Pertanian, walhal isterinya ketika itu adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Meskipun perjalanan dan liku-liku dana syarikat digunakan antara kedua-duanya jauh berbeza, tetapi dari segi amalan kronisme dan nepotisme, ia tidak berbeza sama sekali.


Bahkan, Hannah Yeoh ketika era BN berkuasa dahulu begitu kuat menentang amalan memberi projek kerajaan kepada kroni dengan menyifatkannya sebagai amalan tidak bermoral.


Sebab itu, bagi yang sudah lama berjuang bersama PH, turut sebelum ini menentang amalan kronisme dan nepotisme serta pernah mendesak Shahrizat meletak jawatan, mereka harus kembali menyemak jati diri masing-masing.


Apakah pendirian mereka ketika PH jadi pembangkang dulu masih sama setelah gabungan itu mengetuai kerajaan sekarang?


Janganlah cepat emosi bila Hannah Yeoh didesak meletak jawatan kalau dalam kes Shahrizat dahulu, mereka juga lantang bersuara mendesaknya meletak jawatan.


Sebagaimana bumi ini bulat, perjalanan kehidupan juga adalah macam roda – sekejap di atas dan sekejap di bawah.


Dapat jadi kerajaan bukan bererti tidak boleh kembali jadi pembangkang semula.


Bagi yang baru berubah menjadi penyokong PH setelah gabungan itu berjaya menjadi kerajaan, janganlah pula berlebih-lebihan menyokong kerajaan sehingga bukan saja yang kelabu dikata putih, malah yang hitam pun dinyatakan putih juga.


Berpada-padalah dan jangan sampai sokongan itu membawa rebah kerana rakyat kebanyakan masih boleh berfikir dan membezakan antara hitam dengan putih.


Hakikatnya, dalam kehidupan atau perjuangan, kita tidak harus berbeza pendirian walau dalam apa keadaan sekali pun.


Kita juga tidak harus takut menyatakan sesuatu yang berbeza dengan apa yang ada dalam hati nurani kita.


Kalau hati kata ia betul, katalah di mulut sebagai betul dan kalau hati kata tak betul, jangan takut untuk bersuara mengatakan ia tidak betul – barulah kita jadi manusia yang betul.


Berbalik kepada isu suami Hannah Yeoh dan yang terbaru SPRM sendiri sudah berubah nada dengan mengatakan akan segera memulakan siasatan berikutan beberapa petunjuk baru telah diterima, ini bermakna keperluan untuk Menteri Belia dan Sukan itu meletakkan jawatan semakin menjadi kewajipan.


Bahkan, amat terpuji jika Perdana Menteri sendiri menasihatkan Hannah Yeoh agar berundur pergi.


Mengekalkan lagi beliau dalam kerajaan menunjukkan PH pimpinan Anwar Ibrahim yang mengetuai kerajaan madani sekarang tidak cukup tegas dalam perjuangan menolak amalan kronisme dan nepotisme yang didendangkan sejak lebih 25 tahun lamanya.


Jika tidak berani berbuat apa-apa, eloklah dihalalkan saja amalan kronisme dan nepotisme dalam kerajaan madani ini. – ShahbudinHusin 01Jun2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/06/01/mendesak-hannah-yeoh-meletak-jawatan-adalah-sama-seperti-desakan-kepada-shahrizat-dahulu.html



No comments: