Sering kita mendengar ungkapan yang mengatakan kerajaan yang memiliki majoriti yang kukuh adalah kerajaan yang lebih baik buat rakyat.
Keadaan itu digambarkan kerana kerajaan disebut dikatakan mampu berbuat apa saja untuk membantu rakyat.
Maka itu, di mana-mana juga negara demokrasi di dunia ini, keghairahan untuk memiliki majoriti yang kukuh itu sentiasa menjadi keutamaan kepada mana-mana parti yang berjaya menubuhkan kerajaan.
Tetapi, sering kita terlupa, kerajaan yang kukuh juga selalunya menyumbang kepada berlakunya perkara-perkara tidak baik seperti rasuah, penyelewengan, nepotisme, kronisme, pemimpin bersikap diktator, pemimpin jadi sombong dan tidak memperdulikan penyokong bawahan.
Syaitan paling besar bila menjadi kerajaan ialah kuasa dan kerana kuasa itulah kerap menjadikan seseorang pemimpin itu lupa diri, besar kepala dan merasakan “dunia ini ana yang punya”.
Dalam erti kata lain, dengan majoriti yang kukuh, lebih-lebih lagi jika terlalu kukuh, ia seumpama lesen besar untuk sesebuah kerajaan, khusus pemimpin utamanya melakukan apa saja melalui kuasa yang dimiliki itu bagi memenuhi nafsu sendiri.
Sudah banyak contoh berlaku di dunia ini di mana parti yang berjaya menjadi kerajaan, kemudian kerana kukuhnya majoriti yang dimiliki itu dan berjaya pula berkuasa dalam tempoh yang lama, selalunya ia akan diikuti dengan berlakunya amalan-amalan tidak baik yang disebutkan di atas tadi.
Di negara kita pun, sudah banyak contoh di mana pemimpin yang berjaya memiliki majoriti yang kukuh dan lama memerintah, sama ada di peringkat pusat atau negeri, yang nyata akhirnya ia lebih menyebabkan ramai kerabat dan sahabat dekat pemimpin berkenaan berjaya menjadi golongan kaya raya dalam tempoh yang singkat.
Pemimpin berkenaan sendiri turut didapati jadi maha kaya, malah memiliki banyak hartanah di dalam dan luar negara.
Terbukti bahawa majoriti yang kukuh itu bukanlah benar-benar untuk manfaat atau membantu rakyat, tetapi lebih untuk membantu diri dan keluarga pemimpin itu sendiri.
Sebetulnya, untuk melakukan kebaikan atau membantu rakyat, sesebuah kerajaan tidak perlu pun kepada majoriti yang kukuh kerana semua pihak, termasuk pembangkang, pasti akan menyokong walau sekecil mana sekali pun kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan.
Paling tidak, jika perkara baik yang dilakukan kerajaan, rakyat atau pengundi pasti akan terus menzahirkan sokongan.
Untuk memastikan kerajaan melakukan perkara-perkara yang baik, apa yang penting sebenarnya ialah dengan memastikan ada pembangkang yang kuat.
Pembangkang yang kuat mampu mengawasi kerajaan daripada melakukan perkara-perkara tidak baik – mengkayakan diri sendiri, mengamalkan kronisme, nepotisme, rasuah, penyelewengan, menjual sesuka hati harta serta syarikat kerajaan kepada pihak luar, bersikap sombong, tidak memperdulikan penyokong dan pelbagai yang lain lagi.
Bahkan dengan memiliki pembangkang yang kuat, pemimpin yang berada dalam kerajaan sudah tentu akan menjauhi semua amalan tidak baik kerana jika tidak, mereka tidak disokong lagi dalam pilihan raya seterusnya atau lebih buruk, mungkin akan didakwa di mahkamah selepas berlaku pertukaran kerajaan.
Dengan yang demikian, memiliki pembangkang sentiasa kuat adalah lebih baik buat rakyat.
Pembangkang yang kuat tidak menambah apa-apa kuasa kepada mereka, sebaliknya mampu menjadikan mereka lebih bersuara demi kesejahteraan rakyat.
Ia berbeza daripada memiliki kerajaan yang kuat, kesejahteraan pemimpin dan keluarga mereka biasanya lebih tertonjol berbanding kesejahteraan rakyat.
Sejak 2008 sebelum berjaya menjadi kerajaan, PH telah tampil sebagai pembangkang yang kuat dan ternyata, bukan sedikit kebaikan telah disumbangkannya demi rakyat dan negara.
Banyak penyelewengan, skandal dan pembaziran melibatkan pemimpin kerajaan berjaya didedahkan, malah ada yang sampai dipenjarakan akhirnya.
Kini, PH berjaya mengetuai kerajaan dan ini tidak bermakna, pembangkang yang kuat sudah tidak diperlukan lagi.
Sepanjang masa, pembangkang yang kuat adalah diperlukan kerana walau sesuci mana sekali pun seseorang pemimpin itu sebelum mendapat kuasa, mereka bukanlah malaikat.
Mereka sentiasa terdedah kepada nafsu daripada nikmat kuasa sehingga kadangkala mudah lupa kepada janji-janji yang diratib sebelum ini.
Pujangga ada meninggalkan pesan – untuk mengetahui keperibadian seseorang, tunggu setelah dia beroleh kuasa.
Untuk itu, sementara menyokong mana-mana parti untuk menjadi kerajaan adalah kewajipan sebagai rakyat, janganlah pula dijadikan wajib memberi mereka majoriti yang kukuh.
Hanya dengan memiliki pembangkang yang kuat akan sentiasa mengingatkan pemimpin yang berkuasa dalam kerajaan bahawa kuasa, selain hanya sementara, ia juga boleh tertanggal bila-bila masa. – ShahbudinHusin 27Mei2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/05/27/pembangkang-yang-kuat-lebih-penting-daripada-kerajaan-yang-kuat.html