‘SANUSI HENTI RETORIK KXP, TUMPU PROJEK LOJI RAWATAN AIR’


 Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi tanda tanya rakyat Kedah sama ada diteruskan atau tidak dan telah menjadi polemik media kebelakangan ini seharusnya dijawab oleh kerajaan Pas Kedah.

Bagi Timbalan Pengerusi KEADILAN Kedah, Datuk Zamri Yusof, projek KXP tersebut setelah digembar gemburkan menarik minat pelabur baharu tetapi masih tidak diumumkan jumlah pelaburan yang masuk.

Menurut beliau, isu utama KXP bukanlah Kerajaan Persekutuan tidak meluluskan lesen pembinaan dan pengoperasian lapangan terbang tetapi kerajaan bimbang apakah projek tersebut mampu disiapkan kerana syarikat yang mahu melabur tidak membawa masuk modal secukupnya.

Katanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor seharusnya telus dalam hal KXP memandangkan syarikat bertujuan khas (SPV) setakat ini hanya membabitkan Tahira Air Sdn Bhd dengan modal berbayar RM2 juta berbanding kos pengambilan tanah sahaja mencecah RM2 bilion, dan kos pembangunan keseluruhan sekitar RM6.8 bilion.

“Sanusi berhak umum apa sahaja mengenai cadangan KXP.

“Namun, kegagalan yang berterusan MB Kedah ini, tidak mungkin ada lagi orang nak percaya. Sudah berapa banyak pengumuman KXP macam nak jadi, tapi tak jadi,” katanya.

Sehubungan itu, Zamri menasihatkan Sanusi agar memfokuskan projek Loji Rawatan Air (LRA) yang lambat disiapkan oleh agensi Kerajaan Negeri berbanding projek mega.

Katanya, projek sakit membabitkan LRA Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau yang sepatutnya siap pada tahun lalu adalah bukti nyata kegagalan Kerajaan Negeri Kedah dalam soal pembangunan.

Oleh itu, Zamri menggesa pentadbiran Pas mengutamakan projek air memandang ia telah diberi lanjutan tempoh masa (EOT) untuk disiapkan.

“Lanjutan masa EOT kepada kontraktor adalah pengakuan bahawa kelewatan disebabkan oleh Kerajaan Negeri.

“Jika lewat kerana kontraktor, lanjutan masa akan disertai dengan denda lewat sekitar RM20 ribu sehari. Tetapi, EOT yang diberikan adalah manifestasi kelewatan atas kesalahan dan kelembapan Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Minggu lalu, akhbar Sinar Harian melaporkan kegelisahan penduduk di Kampung Tanah Licin di Kulim yang terlibat dengan pembinaan KXP kerana tiada penjelasan lanjut daripada Kerajaan Negeri.

Penduduk tersebut hanya faham Kerajaan Persekutuan tidak meluluskan lesen pembangunan menyebabkan projek terumbang ambing, sedangkan hakikatnya kerajaan Pas sendiri tidak mempunyai dana untuk membina lapangan terbang kargo itu.



No comments: