Ramadan Madani PMX: Fokus santuni rakyat marhaen, elak bermewah


 

Oleh: Noraini Nordin



ULASAN BERITA: Kalau rajin meneliti, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas mempunyai perbezaan yang ketara berbanding pendahulunya sebelum ini dalam konteks menyambut Ramadan dan Aidilfitri selaku ketua Kerajaan Madani.



Selain memperlihatkan sikapnya yang tidak suka membazir dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam kedua-dua sambutan itu, beliau juga memanfaatkan kedua-dua sambutan itu untuk menyantuni rakyat di seluruh negara.



Bagi majlis berbuka puasa selain tidak banyak acara berbuka puasa diadakan di Seri Perdana sebagaimana lazim semua Perdana Menteri sebelum ini melakukannya, makanan yang dijamu untuk tetamu pula cukup sederhana.



Siapa yang pernah berbuka puasa di Seri Perdana tahun ini dan kebetulan pernah juga menghadiri majlis yang sama anjuran Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini, mereka pasti sedar perbezaan tersebut.



Bukan untuk menunjuk kemewahan



Makanan yang dihidangkan hanya cukup untuk mengenyangkan, bukan untuk menunjukkan kemewahan.


Dengan menyertai aktiviti Ramadan rakyat PMX dapat mendengar sendiri keluhan kelompok paling terjejas


Selebihnya Anwar juga lebih suka berbuka puasa di negeri-negeri, sambil beliau menggunakan masa tersebut untuk menyantuni rakyat.


Dalam kunjungan ke negeri-negeri, di samping banyak acara rasmi sudah diatur untuknya - bertemu pegawai kerajaan dan acara lain melibatkan rakyat misalnya, beliau juga akan mengambil kesempatan mengunjungi bazar Ramadan.


Di sinilah beliau dapat beramah mesra dengan rakyat secara santai dan tidak formal.



Mendengar keluhan rakyat



Di sinilah juga beliau dapat mendengar keluhan rakyat dan meninjau harga makanan yang dijual.



Untuk sambutan Hari Raya pula, Anwar memutuskan untuk tidak mengadakan majlis rumah terbuka di Seri Perdana sebagaimana kelaziman Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini melakukannya.



Sebaliknya, beliau memutuskan untuk turun ke negeri-negeri di mana menteri-menteri ada menganjurkan rumah terbuka.



Langkah ini bukan saja menjimatkan perbelanjaan dan mengelakkan pembaziran, ia juga merupakan ruang kedua selepas majlis berbuka puasa di negeri-negeri untuk beliau dapat bertemu serta bergaul dengan rakyat biasa.



Semua yang Anwar lakukan ini menepati apa yang selalu disebutnya sebelum ini, jawatan dalam kerajaan adalah suatu amanah dan bukan keistimewaan.



Beliau tidak sahaja menggesa orang lain melakukan apa yang diperkatakannya, tetapi terlebih dahulu membuktikannya.

_________________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

 

No comments: