CUKAI PERKHIDMATAN 8% HANYA KE ATAS GOLONGAN BERKEMAMPUAN




 Langkah kerajaan menaikkan Cukai Perkhidmatan daripada 6% kepada 8% tidak melibatkan seluruh rakyat sebaliknya hanya tertumpu kepada golongan berkemampuan.

Bahkan kenaikan 2% yang berkuatkuasa mulai 1 Mac lalu itu dikenakan hanya kepada perkhidmatan logistik, pembrokeran, penaja jaminan dan karaoke yang tidak digunakan oleh kebanyakan rakyat secara harian.

Oleh itu Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar membidas dakwaan penyokong dan laskar siber pembangkang yang sering kali mengaitkan langkah kenaikan cukai itu untuk menekan kehidupan rakyat.

“Saya hairan mengapa cytro-cytro pembangkang banyak mainkan isu ini sedangkan kenaikan 2% itu hanya tertumpu kepada golongan berkemampuan.

“Contohnya cukai elektrik, kerajaan mengenakan caj tambahan kepada pengguna yang berbelanja melebihi RM 220, dari situ 85% pengguna tidak dikenakan caj,” katanya kepada Suara Keadilan.

Malah katanya, langkah kerajaan tidak mengenakan sebarang kenaikan cukai bagi majoriti perkhidmatan, makanan dan minuman, logistik, telekomunikasi serta parkir kenderaan jelas membuktikan kerajaan tidak menekan majoriti rakyat terutama golongan B40.

“Perlu untuk kita faham, caj tambahan itu hanya dikenakan dalam perkhidmatan seperti hotel, pusat hiburan. Keperluan asas seperti makanan, air ini tidak dikenakan apa-apa kenaikan.

“Saya kira apa yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah tindakan bertanggungjawab kerana mereka berani mengambil langkah penjimatan dan Perikatan Nasional sepatutnya perlu rasa malu kerana tidak berani untuk membuat langkah sama ketika menjadi kerajaan,” ujarnya lagi.

Mulai 1 Mac lalu kenaikan Cukai Perkhidmatan sebanyak 2% sering menjadi titik utama serangan pembangkang. Antaranya mereka mendakwa kenaikan berlaku sebanyak 8%. Begitu juga kenaikan tersebut disebut sebagai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sedangnya yang dinaikkan oleh kerajaan hanya Cukai Perkhidmatan.



No comments: