Propaganda jatuh kerajaan: AMK Pulau Pinang gesa tindakan undang-undang


 Oleh: Abdullah Zaid


Propaganda yang dimainkan oleh penyokong pembangkang kononnya Kerajaan Perpaduan bakal tumbang beberapa kali sejak setahun lalu tidak boleh dibiarkan berterusan.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan berkata, tiba masanya kerajaan mengambil tindakan terhadap propaganda yang mengelirukan dan meresahkan rakyat itu.


Jelas Fadzli, penguatkuasaan undang-undang ke atas unsur unsur menggugat keamaman dilihat releven memandangkan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ketika ini adalah saranan Yang di-Pertuan Agong dan telah pun melepasi Undi Percaya di Parlimen.


"Saya kira tindakan undang-undang perlu dikenakan sekiranya ada bukti dan asas kukuh kerana Kerajaan Perpaduan ini ditubuhkan atas saranan Yang di-Pertuan Agong.


"Oleh itu, mana-mana individu yang cuba melanggar titah ketua negara boleh dikenakan undang-undang," katanya.


Selain itu, menurut beliau, sekiranya blok pembangkang masih lagi berterusan dengan usaha mahu menumbangkan kerajaan, ia dibimbangi akan menjejaskan ekonomi negara dan menjauhkan pelabur daripada menanam modal.


"Saya lihat mereka provokasi dan propaganda yang dibawa pembangkang ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan keyakinan pelabur luar untuk melabur di Malaysia sekiranya isu peralihan kerajaan masih lagi berlaku.


"Justeru, saya seru kepada pembangkang untuk jalankan fungsi mereka sebagai semak dan imbang kepada negara dan bukan hanya bermain politik semata-mata," ujarnya lagi.


Terbaharu, laskar siber pembangkang menularkan tarikh baharu bagi pertukaran kerajaan, iaitu pada bulan Februari 2024 selepas tarikh hujung Disember 2023 gagal.


Tarikh baharu ini adalah yang ke-6 selepas 5 tarikh diberikan sebelumnya sepanjang 2023 tidak menjadi kenyataan.

No comments: