Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Kelantan digesa
mengadakan sidang DUN khas diadakan bagi membincangkan pelan perparitan
“holistik” untuk mengurangkan risiko banjir di negeri itu dalam jangka panjang.
Angkatan Belia Islam Malaysia
(ABIM) Kelantan dalam satu kenyataan berkata, mangsa banjir mengeluh tentang
masalah perparitan dan saliran di negeri pimpinan Pas itu.
Oleh itu Kerajaan Negeri dan
pembangkang di DUN Kelantan perlu mengambil langkah proaktif untuk mengemuka
pelan mengurangkan risiko banjir.
"Di lapangan, ABIM
Kelantan temui beberapa longkang dan parit tidak bersambung walaupun hanya
dihalang satu lorong jalan, dan beberapa kawasan digenangi air termenung
mengambil masa agak lama untuk surut walaupun cuaca cerah selama beberapa
hari," kata Naib Yang Dipertuanya, Saifulnizam Muhamad.
Gelombang banjir yang melanda
lima negeri minggu lalu mencatatkan angka melebihi 27,000 orang dipindahkan di
seluruh negara.
Kelantan merupakan negeri
paling terjejas dengan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi melibatkan tujuh
jajahan terjejas banjir iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Gua Musang,
Machang, Kuala Krai dan Jeli.
Berdasarkan laporan, lebih
21,000 penduduk telah ditempatkan di 68 Pusat Pemindahan Sementara.
Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim dalam lawatannya bagi meninjau situasi banjir di negeri itu
mengumumkan lima projek baharu bernilai RM910.5 juta bagi mengatasi masalah
banjir yang melanda negeri Kelantan saban tahun.
Saifulnizam sementara itu
menegaskan, isu menangani banjir sepatutnya menjadi agenda utama pentadbiran
kerajaan Kelantan.
Justeru beliau menggesa
pembangkang di peringkat negeri memainkan peranan mereka mendesak perkara itu
dibincangkan.
"Seandainya sidang DUN
khas tidak dianjurkan Kerajaan Negeri, pembangkang mestilah menggesa ianya
diadakan agar fungsi pembangkang dapat dizahirkan," tambahnya.
Sebagai rekod, DUN Kelantan
didominasi Perikatan Nasional (PN), yang menduduki 43 daripada 45 kerusi.
manakala Barisan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing satu kerusi.