EMPAT INDIVIDU DISIASAT SPRM BERKAIT KES TUN DAIM

 

SPRM merekodkan kenyataan daripada empat individu dalam siasatannya terhadap bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Sohanpal, yang mewakili empat individu terbabit, mengesahkan dalam satu kenyataan media bersama bahawa SPRM memanggil mereka ke ibu pejabat agensi itu di Putrajaya awal hari ini.

“Keempat-empat individu itu telah dipanggil untuk keterangan mereka direkodkan mengikut seksyen 30 Akta SPRM 2009.

“Keempat-empat mereka sangat bekerjasama dan segera hadir ke ibu pejabat SPRM untuk direkodkan kenyataan mereka walaupun diberi notis kurang daripada 24 jam untuk berbuat demikian,” kata kedua-dua peguam itu.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam itu membidas SPRM sebagai “penindasan menyalahi undang-undang dan angkuh”.

Kedua-duanya memetik insiden pegawai SPRM didakwa melarang mereka menemani anak guam mereka ketika disoal, sekali gus menghalang mereka daripada mewakili dan menasihati anak guam mereka.

Apabila ditanya pihak yang mengarahkan peguam beredar, pegawai SPRM mendakwa ia “arahan datang daripada pihak atasan”.

Kedua-dua peguam itu mengingatkan SPRM tentang hak untuk mendapatkan perwakilan undang-undang apabila disiasat oleh badan penguatkuasaan adalah asas kepada sistem keadilan jenayah Malaysia.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

Pada 21 Dis tahun lepas, SPRM menyita Menara Ilham, sebuah bangunan bernilai komersial tinggi yang terletak di Kuala Lumpur.

Bangunan itu dimiliki oleh keluarga Daim, yang juga sekutu rapat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/692147




No comments: