Inflasi bagi bulan November 2023 menurun kepada 1.5% (berbanding November 2022), iaitu inflasi yang paling rendah sejak Februari 2021.
Inflasi November 2023 adalah kayu ukur yang penting kerana ia membandingkan harga barang semasa Dato’ Seri Anwar mula-mula menjadi Perdana Menteri dan kesan pentadbiran beliau kepada harga barang selepas genap setahun.
Dalam bahasa mudah, harga barang dan perkhidmatan hanya naik 1.5% dalam masa setahun (berbanding 4% semasa beliau mengambil alih). Jika gaji dan pendapatan rakyat naik lebih tinggi dari inflasi, pendapatan boleh belanja rakyat akan meningkat dan membantu untuk menangani kos sara hidup.
Kaji selidik oleh Mercer (perunding gaji antarabangsa) menunjukkan gaji penengah Malaysia akan meningkat sebanyak 5% bagi tahun 2023 dan terus meningkat lebih tinggi bagi tahun 2024.
Dari perspektif inilah, usaha mengekang inflasi adalah sangat penting untuk membantu rakyat. Usaha kerajaan adalah meningkatkan gaji dan mengekang inflasi, supaya pendapatan boleh belanja rakyat meningkat dari tahun ke tahun.
Jika dibanding dengan rekod pentadbiran sebelum ini, kenaikan gaji sekitar 4.8% (2022) tidak berkesan membendung kenaikan kos sara hidup apabila inflasi dalam bulan November 2022 adalah 4% (semua kenaikan gaji dihabiskan untuk menampung harga yang meningkat sama banyak).
Lebih penting lagi, kejayaan mengekang inflasi ini dicapai tanpa menaikkan kadar faedah bank (OPR) dengan mendadak walaupun itu menjadi respon biasa kerajaan di seluruh dunia. Pentadbiran dahulu pun menaikkan kadar faedah dua kali berturut-turut dalam tahun 2022 dalam masa yang singkat untuk mengekang inflasi yang naik mendadak tahun itu.
Ada yang akan terus mempertikaikan konon pencapaian inflasi yang terendah sejak Februari 2021 ini tidak ada kesan kepada rakyat.
Mudah untuk jadi bahan pertikaian dalam keadaan inflasi lebih rendah sekarang, sedangkan pada zaman mereka inflasi yang tinggi (4%) menyebabkan beban yang berganda kepada rakyat:
1. Harga barang naik mendadak bulan ke bulan
2. Kemudian kadar faedah pula terpaksa dinaikkan untuk mengekang inflasi (yang menyebabkan bayaran pinjaman juga naik)
Masih banyak ruang yang perlu dibaiki agar kehidupan rakyat lebih baik, tetapi kedudukan ekonomi negara (dan rakyat) sudah pasti lebih baik sekarang (selepas setahun) pada kadar inflasi dan kadar faedah sekarang.