Bimbang dengan Kerajaan Perpaduan yang semakin stabil dan diterima oleh rakyat, pembangkang kini menggerakkan satu lagi usaha merampas kuasa secara ‘tebuk atap’.
Terbaru beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kini berada di Dubai terlibat dalam pertemuan tertutup. Ia dipercayai turut dihadiri oleh dua Ahli Parlimen BN dan akan juga bertindak sebagai mewakili kelompok tertentu.
Kalau suatu ketika dulu, PN pernah mendapat kuasa memerintah melalui Langkah Sheraton atau Sheraton Move, kali ini pula melalui apa yang dipanggil sebagai Langkah Dubai.
Difahamkan kelompok Ahli Parlimen itu sedang berusaha untuk mengadakan sembah mengadap ke atas Yang diPertuan Agong (YDPA) yang telah berada di Dubai bagi urusan lain.
Tidak pasti sama ada mereka berpeluang untuk menghadap baginda Tuanku tetapi setakat ini, ia nampak sukar.
Tempoh YDPA Al-Sultan Abdullah akan berakhir 31 Januari 2024 sebelum diambilalih oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Perkembangan terbaru ini memperlihatkan betapa PN terdesak untuk merebut kuasa dengan mencabuli proses demokrasi.
Melalui gerakan yang diatur, beberapa pemimpin Pas dan Bersatu cuba mendapatkan sokongan sebahagian Ahli Parlimen BN dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).
Antara tawaran yang diberikan kepada BN (termasuk MCA dan MIC) ialah jawatan Timbalan Perdana Menteri dan menteri kabinet kanan kepada beberapa pemimpin serta pengampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Langkah tersebut antara lain bertujuan menarik sokongan orang Melayu dan akar umbi UMNO khususnya, bagi menyokong pembentukan kerajaan baharu nanti.
Ternyata PN mahu memanipulasi isu pengampunan dan pembebasan Najib bagi kepentingan politik sempit iaitu hanya untuk tujuan mendapatkan kuasa.
Turut dirangka adalah mewujudkan semula Muafakat Nasional sebagaimana pernah dirintis oleh UMNO dan Pas selepas PRU-14.
Seorang bekas Perdana Menteri dan bekas menteri kanan daripada UMNO adalah di antara beberapa pemimpin UMNO yang bekerjasama dengan PN bagi menjayakan percaturan terbaru ini.
Kedua-duanya mengambil pendekatan baling batu sembunyi tangan namun perkara tersebut dapat dihidu lebih awal.
Beberapa pemimpin UMNO termasuk yang tidak berpuas hati dan kecewa dengan rombakan Kabinet baru-baru ini, turut diambil kesempatan oleh PN dengan menawarkan kedudukan lebih baik.
Menurut sumber, PN juga sedia menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada PBB dan autonomi yang lebih besar selain 20 peratus royalti hasil minyak kepada Sarawak.
Walaupun pelbagai pihak dan rakyat telah menolak sebarang gerakan untuk menukar kerajaan secara tebuk atap demi kestabilan, PN masih berterusan melakukan usaha tersebut tanpa rasa bersalah dan malu.
Terdapat desas-desus percaturan terbaru ini mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seorang bekas menteri kanan yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.
Antara asas kepada gerakan ini kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam pentadbirannya, ditolak oleh majoriti orang Islam dan faktor DAP makin berpengaruh termasuk agresif membuat pelbagai tuntutan untuk kepentingan kaum tertentu.
Sementara itu, sumber yang rapat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin Langkah Dubai tidak akan membawa sebarang impak dan UMNO akan terus teguh menyokong Anwar.
Menurut komen ramai netizen di media sosial pula, gerakan menumbangkan kerajaan seperti Langkah Dubai ini tidak akan berjaya kerana rakyat sudah bosan dengan politiking yang keterlaluan.
Apa yang diperlukan oleh rakyat ialah kestabilan politik dan keharmonian bagi menjamin kesejahteraan negara termasuk menarik lebih banyak pelaburan asing.
Berdasarkan semua petunjuk Langkah Dubai percaturan PN tidak akan berhasil malah boleh menjadi senjata makan tuan.
Rakyat akan lebih simpati kepada kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang diketahui umum bekerja keras. Sebaliknya PN dilihat asyik mahu sabotaj negara.
Oleh Zamani Zaman