HAMPIR MUSTAHIL TUN MAHATHIR BOLEH JADI PM KALI KETIGA


Veteran UMNO Sabah, Salleh Tun Said Keruak membayangkan Tun Mahathir Mohamad boleh kembali sekali lagi sebagai Perdana Menteri jika tindakan politiknya tidak diperhati serta diawasi.


Berikutan keputusan empat negeri tadbiran Pas melantik bekas Perdana Menteri dua kali itu sebagai penashat tidak rasmi mereka, Salleh seterusnya melihat Tun Mahathir sekarang ini adalah “ketua de facto” blok pembangkang PN.


“Dalam arena politik, cita-cita tiada had dan umur pula bukan menjadi penghalang. Oleh itu jangan memandang rendah kehendak orang tua,” katanya lagi.


Secara mudah difahami, Salleh dalam hal ini sebenarnya ingin memberi peringatan kepada Anwar Ibrahim, PH dan UMNO agar sentiasa berjaga-jaga.


Persoalan asas ialah bolehkah Tun Mahathir jadi Perdana Menteri sekali lagi?


Walaupun tiada perkara yang mustahil di dunia ini. tetapi daripada segi kemunasabahan dan hukum akal, terlalu sukar untuk Tun Mahathir mampu kembali ke puncak kuasa.


Pertama, beliau ketika ini bukanlah Ahli Parlimen dan ini, setidak-tidaknya sehingga PRU16 akan datang yang dijangka diadakan pada tahun 2027, sudah tertutup jalan buatnya untuk menjadi Perdana Menteri.


Memberi jawatan penasihat tidak rasmi kepada empat negeri itu hanyalah untuk Pas memanfaatkan pengalaman dan pengaruh beliau, di samping Tun Mahathir sendiri melihat ia sebagai platform agar suaranya selepas ini lebih didengari.


Menjadi penasihat tidak rasmi seumpana “Perdana Menteri Tidak Rasmi” juga bagi empat negeri berkenaan.


Yang mungkin berlaku, dengan kedudukan tersebut ialah pengikut dan penyokong Tun Mahathir barangkali lebih dulu terbuka peluang untuk berniaga atau mengemukakan apa-apa proposal kepada empat negeri sebagai peluang mencari rezeki.


Kedua, selagi ada Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi PN dan Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang yang merupakan dua tokoh utama gabungan blok pembangkang, ruang untuk Tun Mahathir menguasai PN boleh dikata sentiasa tertutup.


Ini kerana Mahiaddin dan Hamzah juga teringin mahu jadi Perdana Menteri – seorang untuk kali kedua can seorang lagi kali pertama.


Malah Hamzah, sejak kebelakangam ini, sudah ramai yang memaggilnya PM11.


Ertinya, sebelum PRU16 akan datang, kalau pun kiranya Pas sedia menjadikan Tun Mahathir sebagai Ahli Parlimen semula dengan meminta mana-mana Ahli Parlimennya sedia ada meletakkan jawatan, laluan mendaki kerusi Perdana Menteri tidak mudah buat bekas Pengerusi Pejuang itu kerana Mahiaddin dan Hamzah mustahil akan memberi sokongan.


Jangan lupa, di sebalik PN mempunyai 74 kerusi Parlimen, 31 daripadanya adalah milik Bersatu dan hanya selelebihnya menjadi milik Pas.


Silap-sikap dengan keghairahan yang keterlaluan untuk menonjolkan semula Tun Mahathir itu hanya akan menyebabkan PN sendiri berpecah.


Ketiga, perubahan kerajaan sudah jadi mustahil berlaku sebelum PRU16 berikutan ikrar dan komitmen GPS di Sarawak untuk terus menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.


Tak usah sembanglah, tanpa sokongan GPS yang mempunyai 23 Ahli Parlimen, cita-cita menukar kerajaan oleh blok pembangkang hanya sekadar santapan bual-bual kosong di kedai kopi saja tarafnya.


Tambah kukuh kedudukan kerajaan kerana ia terus disokong mantap oleh UMNO yang dipimpin Zahid Hamidi.


Keempat dan terakhir, detik paling dekat untuk melihat kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan, khusus kerana komitmen sokongan GPS ialah pada PRU16 tahun 2027 akan datang.


Tun Mahathir sekarang berusia 98 tahun dan empat tahun lagi usianya ialah 102 tahun.


Memang tidak mustahil Tun Mahathir masih ada pada tahun 2027 itu nanti, tetapi dalam usia sebegitu, sudah tentu beliau tidak mampu lagi untuk memikul tanggungjawab yang lebih berat.


Jangankan sebagai Perdana Menteri, tugas sebagai Ahli Parlimen pun mungkin tidak berupaya lagi dipikulnya.


Kalau diletakkan juga bertanding, besar kemungkinan pengundi sendiri secara berjemaah lebih dulu menolaknya, mengulangi kekalahan di Langkawi sebelum ini kerana rakyat secara umumnya tentu mahukan wakil rakyat yang boleh berkhidmat, bukan yang memiliki ciri-ciri tenat.


Dengan empat sandaran di atas, mungkin dianggap terlalu takbur atau cuba mendahului takdir jika menghukum mustahil, tetapi dengan akal yang ada, tidak salah untuk mengatakan hampir mustahil bagi Tun Mahathir boleh jadi Perdana Menteri sekali lagi.


Lagi pun, asyik dia, dia dan dia saja, Malaysia ini nak jadi apa? – ShahbudinHusin 19/09/2023.


https://shahbudindotcom.net/



1 comment:

Anonymous said...

Tidak ada hati perut dan belas kasihan pemimpin walaun & walauntit hingga sanggup menunggang yang jauh lebih tua dari mereka, agaknya berapa jauh lagikah mereka boleh menunggang