Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail terus membangkitkan persoalan kepada menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang di Sik, Kedah.
Hari ini Saifuddin mendakwa seorang warga tempatan dari Kuala Krai, Kelantan yang dikaitkan dengan dakwaan itu telah ditangkap dan dikenakan denda sebanyak RM130,000 pada Januari lalu kerana menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang.
Lelaki Cina itu dikatakan antara 40 orang, termasuk 35 warga asing, yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menceroboh hutan simpan itu.
Namun, kata Saifuddin, kerajaan Kedah yang diketuai Sanusi kemudian mengeluarkan surat bertarikh 15 Mei untuk membenarkan syarikat milik lelaki itu untuk masuk ke kawasan sama dalam hutan simpan itu.
“Hari ini saya nak tanya Sanusi, kenapa keluarkan surat bertarikh 15 Mei untuk benarkan syarikat itu masuk di kawasan sama berkeluasan 500 hektar di hutan simpan.
“Jika (lelaki) sudah ditahan pada Januari, mengapa beri surat 15 Mei atas alasan membangunkan ladang hutan?
“Jadi kita nak tanya Sanusi, sampai bila dia nak pertahan insiden kecurian ini, mengapa surat dikeluarkan kepada orang yang sama yang ditahan dan didenda?” soalnya ketika sidang media hari ini.
Setiausaha agung PKR itu juga mendakwa lelaki tersebut ditahan sekali lagi pada Jun lalu.
Dia berkata akan menunggu jawapan Sanusi berhubung perkara itu, sambil membayangkan dia akan terus membuat pendedahan berkenaan kes tersebut.
Saifuddin dalam siri ceramahnya di Kedah telah membangkitkan dakwaan mengaitkan Sanusi dengan kes REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, Kedah.
Sanusi pula berulang kali menafikan dakwaan itu dan mengancam untuk memfailkan saman terhadap Saifuddin.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama suspek kes jenayah yang bukan tokoh masyarakat selagi dia tidak didakwa di mahkamah.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/674669