Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said terpaksa membuat kenyataan media selepas memberikan jawapan di Parlimen mengenai dana judi yang didakwa diterima PN pada PRU15 lalu, ini sebenarnya adalah sesuatu yang amat memalukan.
Sepatutnya, jawapan di Parlimen itu sudah cukup sebagai suatu penjelasan yang meyakinkan serta bernoktah, di samping tidak seharusnya membuatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mula menyebut perkara berkenaan, terus dihentam dan dikritik lawan.
Malangnya, oleh kerana jawapan Azalina mengenainya terlalu lemah dan cuai, maka Anwar akhirnya menjadi sasaran kritikan, bahkan dilabel sebagai penipu kerana didakwa membuat tuduhan melulu.
Ini sesuatu yang tidak patut sama sekali berlaku kerana menteri, baik melalui apa juga tindakan atau pengucapan, lebih-lebih dalam menjawab di Parlimen, keutamaan mestilah melindungi kerajaan dan Perdana Menteri.
Apa guna jadi menteri jika jawapan di Parlimen mengenakan balik kepada Perdana Menteri?
Dalam jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas berhubung status siasatan berkenaan dakwaan PN menerima dana judi, Azalina menyebut, hasil siasaran SPRM mendapati maklumat yang diperolehi terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkannya, lalu tiada kertas siasatan dibuka mengenainya.
Jawapan sebegini dengan sendirinya memberi tafsiran bahawa Anwar yang membuat dakwaan mengenai perkara itu telah membuat tuduhan melulu kepada PN.
Ketika mula-mula tersebar jawapan Azalina itu di media sosial pada Khamis, saya yang ketika itu bersama beberapa kawan turut geleng kepala dengan bentuk jawapan yang diberikannya itu.
Selepas Anwar dikritik dan dihentam berikutan jawapan itu, malah Mahiaddin Md Yasin turut berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri, Azalina kemudian tampil dengan kenyataan media yang memaklumkan, meskipun tiada fail siasatan dibuka tetapi kes itu tidak pernah digugurkan.
Katanya lagi, SPRM berhak membuka kertas siasatan pada bila-bila masa berdasarkan bukti yang diperolehi daripada semasa ke semasa.
Di sinilah lemah dan cuainya Azalina memberi jawapan dan meletakkan keutamaan dirinya sebagai menteri yang harus melindungi Perdana Menteri dalam jawapan yang diberikannya itu.
Jawapan yang menyebut – siasatan telah dijalankan, maklumat diperolehi terlalu umum serta tidak dapat disahkan dan tiada fail siasatan dibuka – secara automatik seperti memberi peluru kepada PN untuk menyerang balik Anwar yang membangkitkan perkara itu sebelum ini.
Kenapa tidak disambung jawapan di Parlimen itu dengan ayat? – bagaimanapun siasatan akan terus dijalankan dan kertas siasatan boleh dibuka pada bila-bila masa jika terdapat bukti yang boleh mengukuhkan pendakwaan.
Dalam hal ini, mustahil Azalina tidak sedar atau tidak tahu bahawa isu dana judi kepada PN itu telah dibangkitkan oleh Anwar tidak lama selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Bahkan ia juga dilaporkan secara meluas dalam media-media.
Kalau beliau sedar dan tahu mengenainya, mustahil tiada sekelumit perasaan dalam hatinya sebagai menteri untuk melindungi Anwar yang melantiknya ke jawatan tersebut.
Walaupun kenyataan media Azalina kemudiannya boleh dianggap bermaksud demikian dan agar Anwar tidak berterusan dihentam, tetapi ia boleh dikira sudah terlewat dan akhirnya timbul pula pelbagai dakwaan lain yang sekali lagi menjejaskan imej Perdana Menteri.
Semua ini boleh dielakkan jika jawapan Azalina di Parlimen tidak lemah serta tidak cuai dengan keutamaan ialah untuk melindungi kerajaan dan Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 27/05/2023.
https://shahbudindotcom.net/