Beberapa projek pembangunan di negeri Kedah tidak diurus dengan baik sehingga menyebabkan pembangunan projek perlahan dan terjejas, dakwa Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Datuk Zamri Yusuf (gambar, bertopi merah) yang
dipetik berkata, perkara itu berlaku ekoran beberapa isu yang tidak diberi
perhatian dengan betul oleh Kerajaan Negeri.
Ekoran masalah projek sedia ada, beliau melahirkan kebimbangan
bahawa negeri itu akan sukar mendapat projek-projek pembangunan baharu dari
Persekutuan.
"Ada projek yang terjejas kerana masalah pengambilan tanah
serta terkait beberapa isu dengan masyarakat setempat. Untuk menyelesaikan isu
tersebut, kerajaan negeri perlu beri perhatian penuh.
"Sebagai contoh dalam isu pengambilan tanah, kerja yang perlu
dilakukan bukan setakat wartakan saja sebaliknya selepas itu perlu ada tindakan
susulan termasuk persetujuan ramai terhadap kerja yang hendak
dilaksanakan," katanya dipetik Utusan.
Beliau memberi contoh beberapa projek yang bermasalah termasuk
pembinaan lima loji rawatan air (LRA) yang ada antaranya baru mencapai tahap 10
peratus dalam tempoh tiga tahun.
Selain itu rancangan tebatan banjir juga statusnya tidak
berkembang sejak Pakatan Harapan (PH) menyelesaikan isu lencongan di Gunung
Keriang serta Kuala Sungai pada 2019 dan 2020 ketika menjadi Kerajaan Negeri
sebelum ini.
"Jadi apabila Menteri Besar tidak teruja dengan pengumuman
RM1.6 bilion baru-baru ini kerana mendakwa ia hanya projek sudah diumum dan
diusahakan kerajaan terdahulu, maka itu sebenarnya menjadi bukti Kedah sukar
mendapat projek baharu kerana projek-projek sebelum ini pun banyak terjejas dan
berjalan terlalu perlahan," katanya
Beliau sebelumnya ditemui pemberita pada sidang akhbar projek
menggantikan Jambatan Manjalara di Jalan Putra di Alor Setar semalam.
Penggantian Jambatan Manjalara oleh Kerajaan Persekutuan itu
jelasnya dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025 bakal memberi manfaat besar
tidak hanya kepada lalu lintas di situ malah aspek pelancongan di Alor Setar.
"Jambatan baharu ini akan berada di kedudukan lebih tinggi
berbanding paras sungai, sekali gus membolehkan aspek pelancongan menelusuri
Sungai Kedah boleh dilaksanakan dengan lebih lancar ke lokasi lebih jauh
menggunakan bot.
"Selain itu, jambatan ini juga secara keseluruhannya akan
memiliki empat lorong berbanding cuma tiga sebelum ini. Keadaan itu akan
membantu mengurangkan kesesakan terutamanya di waktu puncak," katanya.