ERTINYA JIKA KEPIMPINAN UMNO BERUBAH, YANG BERTUKAR HANYA PENYANDANG JAWATAN TPM DAN BUKAN PM


 Tanpa mengesahkan sama ada dirinya atau Hishammuddin Hussein yang benar-benar akan bertanding jawatan Presiden UMNO, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tampil memberi komitmen sokongannya yang berterusan kepada Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri yang memimpin kerajaan perpaduan.

Katanya, jika beliau atau sekutunya menang sebagai Presiden UMNO nanti, mereka akan tetap memberi sokongan kepada Anwar.

Khairy atau KJ berkata, beliau tidak menyokong “kaedah pintu belakang” untuk perubahan dalam pentadbiran kerajaan, sambil menambah, dirinya bahkan mahu kerajaan Anwar terus kekal dan stabil.

“Terdapat kebimbangan sekiranya berlaku perubahan dalam kepimpinan UMNO, ia akan membawa ketidakstabilan politik yang akan membawa kepada kejatuhan kerajaan, satu lagi Langkah Sheraton, dan satu lagi kerajaan akan masuk dan seorang Perdana Menteri baru mengangkat sumpah.

“Loke, saya ingin menyatakan ini dengan jelas di hadapan semua orang di sini: jika saya atau sekutu saya memenangi jawatan Presiden UMNO, memenangi kepimpinan parti saya, kami akan memberikan sokongan kami kepada kerajaan perpaduan, kepada Anwar Ibrahim dan kepada anda,” katanya ketika berucap pada forum anjuran Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Beliau seterusnya menjelaskan, pemilihan UMNO akan datang ini adalah sangat penting dalam konteks untuk membawa pembaharuan kepada parti.

“Ia akan menentukan sama ada UMNO akan kekal relevan atau “bersemadi”, tambahnya lagi.

Malah, dalam konteks berkaitan, KJ turut menawarkan perjanjian jangka panjang antara PH dengan BN bagi menjamin kestabilan yang berkekalan selepas beliau atau sekutunya memenangi pemilihan UMNO nanti.

Tegas beliau, perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara kedua-dua pihak dalam kerajaan perpaduan sebelum ini yang turut melibatkan GPS, GRS dan Warisan adalah perjanjian jangka pendek yang lebih memfokus kepada pembaharuan.

“Sekiranya kita mahu membawa haluan dan visi yang lebih ‘sentris’ di negara ini di mana anda (Loke) dan saya boleh bekerjasama, marilah kita membentuk semula struktur sedia ada.

“Dan marilah kita membawa visi itu untuk menentang mono-etnik blok pembangkang (Perikatan Nasional) dan membentangkannya kepada rakyat Malaysia,” tegas KJ lagi.

Jadi, mahu dibimbangi apa lagi sekiranya berlaku perubahan dalam kepimpinan UMNO?

Dengan jaminan tersebut, hakikatnya tiada apa lagi yang ditakuti dari segi kesan pemilihan UMNO nanti kepada kedudukan Anwar dan kestabilan kerajaan perpaduan yang penubuhannya adalah atas titah Yang Dipertuan Agong.

Pemilihan UMNO tidak lebih hanya merupakan suatu proses parti itu yang dibenarkan oleh perlembagaan untuk menentukan nasib masa depannya sendiri.

Bagi ahli UMNO yang prihatin, dengan kemerosotan prestasi kemenangan cuma 26 kerusi Parlimen pada PRU15 lalu berbanding 54 kerusi pada PRU14 dan 88 kerusi pada PRU12, keperluan “berubah jika tak mahu terus rebah” adalah prinsip yang tidak dapat dielakkan lagi.

Takut-takut kalau tidak ada perubahan, kerusi UMNO hanya tinggal 16 atau mungkin 6 saja lagi selepas PRU16 nanti.

Namun, dengan jaminan KJ itu, siapa pun yang memimpin UMNO selepas pemilihan nanti, sokongan kepada kerajaan perpaduan dan Anwar selaku Perdana Menteri tetap tetap berkekalan.

Ertinya, selain kerajaan perpaduan ini akan terus kekal, kedudukan Anwar juga sama sekali tidak terjejas.

Yang barangkali perlu berubah selepas berubahnya kepimpinan UMNO hanyalah dari segi pengisian baru bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Oleh kerjasama yang terikat untuk membentuk kerajaan adalah antara PH dan BN, maka Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang baru sudah semestinya perlu dilantik memegang jawatan nombor dua dalam kerajaan bagi menggantikan penyandang yang lama.

Kesimpulannya, berubahnya kepimpinan UMNO hanya menyebabkan bertukar penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri saja, manakala Anwar sebagai Perdana Menteri bersama kerajaan perpaduan yang dipimpinnya sekarang akan terus kekal menerajui negara ini.

Dengan itu, kenapa tidak kita sama-sama meraikan demokrasi pertandingan dalam UMNO dengan hati dan kepala yang dingin? – ShahbudinHusin 11/01/2023.