Banjir besar yang berisiko berlaku dalam tempoh antara Oktober
hingga November 2022 ini akan dihadapi secara penuh kesiapsiagaan oleh Pakatan
Harapan (PH).
Pengerusi Biro Mobilisasi PH, Mohamad sabu berkata, sukarelawan PH
telah diarahkan bersedia berikutan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia
(MetMalaysia) yang mengeluarkan ramalan tentang kemungkinan buruk berikutan
hujan turun dengan lebatnya sejak beberapa hari lalu.
Hal itu, katanya, bersesuian dengan Titah Yang di-Pertuan Agong,
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua pihak
agar bersiap-siaga menghadapi risiko banjir
"Laporan media menunjukkan banyak kawasan di seluruh negara
termasuk Sarawak telah mengalami tren kenaikan paras air sungai sehingga
menyebabkan banjir kilat.
"Situasi ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Bencana
yang berpunca daripada fenomena perubahan cuaca bukan lagi satu peristiwa yang
boleh kita anggap sebagai normal dan disambut seperti sebuah 'pesta' dan
biasa-biasa sahaja.
"Apa yang berlaku pada penghujung tahun lalu patut
menyedarkan kita bahawa berpuluh ribu penduduk telah menjadi mangsa dan jutaan
harta telah musnah, yang mana traumanya masih dirasai sehingga kini,"
katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, menurut Presiden Amanah itu lagi, sebagai langkah
bersiapsiaga, Biro Mobilisasi PH akan mengerahkan seramai mungkin sukarelawan
untuk membantu dan memastikan keselamatan mangsa-mangsa banjir serta harta
benda mereka.
"Pihak kami juga akan mempersiapkan jentera sukarelawan di
semua peringkat dengan kelengkapan mantap yang boleh dikerahkan ke kawasan
berisiko tinggi.
"Untuk itu, kami sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja
untuk menghulurkan kepakaran dan bantuan supaya banjir kali ini dapat dihadapi
dengan kemusnahan harta benda (diharapkan) pada tahap yang amat minimum,"
katanya.
Bagi mendapatkan lebih banyak sukarelawan, tegas Mohamad, PH akan
mengeluarkan borang pendaftaran sukarelawan yang boleh digunakan oleh orang
ramai untuk mendaftar sebagai sukarelawan.