Menerima pangkat yang tidak layak bagi kita


Nik Hasyudeen


Saya dimaklumkan di atas pelbagai sebab ada kes-kes yang mana pegawai-pagawai diberikan pangkat di luar kemampuan mahu pun kelayakan mereka.


Ada yang lompat dari gred 40an terus kepada JUSA. Ada yang JUSA terendah terus ke JUSA tertinggi setelah berkhidmat seketika sahaja dan pelbagai senario lagi. Apabila orang yang ada kuasa tidak menggunakan kuasa mereka dengan cermat dan lupa kuasa yang Allah pinjamkan itu akan dipersoalkan di akhirat, macam-macam boleh berlaku.


Apakah kesan ke atas mana-mana organisasi apabila berlaku magis seperti ini? Bertambah cemerlang atau pun menjadi kelam kabut? Ni macam suruh anak kecil bawa bas lah walaupun kakinya belum cukup panjang untuk tekak minyak dan brek. Rasanya tak ke mana-mana pun.


Jadi, adakah orang yang belum layak atau tidak layak yang menerima pangkat-pangkat di luar kemampuan mereka halal pendapatannya? Pada pandangan saya, orang yang tidak cukup kelayakan dan pengalaman tentunya akan gagal menjalankan amanah dan tanggungjawab kedudukan yang diduduki itu kerana dia tak cukup ilmu, kemahiran dan juga pengalaman. Kekurangan usaha kerja (work effort) ini akan menyebabkan amanah dan tanggungjawab kerja gagal dipenuhi. 


Jadi gaji dan juga lain-lain kemudahan yang dinikmati mungkin tidak berdasarkan kerja dan mutu kerja yang cukup. Ni orang-orang agama kena kaji dan syarahkan supaya orang yang tidak mampu dan tidak layak takut menerima kedudukan di luar kelayakan dan kemampuan mereka.


Bayangkan budaya “biasa-biasa sahaja” yang saya sebutkan semalam bercampur dengan situasi orang naik pangkat tanpa kelayakan yang cukup. Apakah yang akan terjadi ke atas organisasi yang terlibat? Kalau ini berlaku ke atas negeri dan negara macamana pulak?


Orang yang dapat kedudukan tanpa cukup sifat ini akan memandang kedudukan yang mereka duduki “biasa-biasa sahaja”. Jadi, semuanya mereka akan ambil mudah. Cakap main lepas, kalau gagal diberikan pelbagai alasan dan kalau jadi sedikit pun dicanang-canang sebagai hebat dan cemerlang.


Di dalam negara yang mengamalkan demokrasi, orang-orang yang berikan kuasa untuk mentadbir negeri dan negara dipilih melalui proses pengundian. Oleh kerana setiap pengundi ada satu undi sahaja, setiap pengundi ada sumbangannya di dalam menaikkan mana-mana calon. Jadi dia tak boleh nak dakwa dia tidak terlibat sekirannya orang yang tak cukup kelayakan yang naik adalah hasil dari satu undi yang diberikannya itu. 


Yang tak keluar mengundi pun tak boleh mendakwa mereka pun tak terlibat. Tidak mengundi pun adalah satu keputusan. Maknanya dia tak peduli pun siapa yang naik. Jika ada peluang untuk menunjukkan sikap tetapi itu tidak diambil, saya kira Allah pun akan tanya jaga di akhirat nanti.


Tidak ada perkara yang kita lakukan di dunia ini yang tidak akan dihisab. Jadi, berhati-hatilah di dalam membuat keputusan termasuk menerima jawatan yang tidak layak bagi kita. Kalau kita tak terima, tak ada orang yang boleh paksa kita untuk menerimanya. Kalau kita pula yang mencari-cari peluang dan seronok menerima jawatan di luar kemampuan kita, terimalah akibatnya apabila dihisab oleh Allah nanti.


Yang melantik pun tak boleh ambil mudah kuasa yang ada, walaupun satu undi sahaja. Walaupun nampak kecil, beranikah kita mengatakan bahawa undi yang kita beri itu kecil nilainya di sisi Allah?


والله أعلم