Bicara laporan audit 1MDB Najib ditunda 26 Ogos
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 26 Ogos ini untuk menyambung semula perbicaraan Najib Razak didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk meminda laporan audit 1MDB.
Timbalan Pendakwa Raya, Mustafa P Kunyalam berkata, pendengaran yang dijadualkan hari ini di hadapan hakim Zaini Mazlan dikosongkan kerana bekas perdana menteri itu kini berada di Mahkamah Persekutuan untuk rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman dalam kes SRC International.
Firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib menulis surat kepada Mahkamah Tinggi dua hari lebih awal untuk memohon penangguhan itu.
“Kami menerima surat dari timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi semalam bawah permohonan untuk mengosongkan pendengaran yang dijadualkan hari ini dibenarkan.”
Kunyalam berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh pendengaran pada 2 Sept dan kini menambah tarikh baharu pada 21, 25 dan 28 Okt.
Hari ini, pasukan peguam Najib yang diketuai Shafee Abdullah sepatutnya melakukan pemeriksaan balas ke atas pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Haniff Lami dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.
Pada 24 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memeriksa Arul Kanda, yang didakwa bersubahat dengan Najib. Beliau kekal sebagai tertuduh bersama.