TAK ADA ISU KITA PATUT SERABUT KEPALA BILA ISMAIL SABRI, TUN M DAN AZMIN SAMA2 ADA DI JEPUN

 

Sejak beberapa hari lalu lagi apabila diberitakan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Tun Mahathir Mohamad serta beberapa menteri sama-sama berada di Jepun, ada yang membuat spekulasi serta tafsiran bahawa suatu rancangan politik telah berlaku di sana.

Apatah lagi, antara menteri yang turut berada di Jepun itu ialah Azmin Ali dan Saifuddin Abdullah, dua bekas pemimpin PKR yang terlibat dalam komplot Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH sebelum ini

Seolah-olah dengan adanya mereka itu di Jepun bersama Ismail Sabri dan Tun Mahathir, satu lagi gerakan jatuh-menjatuh yang bakal menggegarkan politik negara akan berlaku tidak lama lagi.

Gerakan politik yang diandaikan itu bukan saja disebut-sebut melibatkan kedudukan UMNO, Ismail Sabri dan kerajaan sedia ada, malah juga diribut-ributkan untuk matlamat yang lebih besar iaitu menghuru-harakan PKR serta PH, sekaligus menghalang kemaraan Anwar Ibrahim.

Turut dikaitkan dalam gerakan itu ialah melibatkan Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak, dua tokoh utama UMNO yang sering disebut sebagai kluster mahkamah.

Mendengar cerita-cerita yang disampaikan itu, disertai dengan pelbagai coretan berbentuk andaian di media sosial, sekali imbas memanglah nampak menyeronokkan dan boleh membuatkan kita terpedaya.

Lantas itu, kita pula mungkin menyambung dengan bercerita pula kepada pihak lain atau menyebarkan-luaskan lagi semua tulisan berkenaan dengannya.

Sebenarnya jangan kita sakit kepala mengandaikan akan berlaku sesuatu gerakan politik Malaysia di Jepun hanya disebabkan ada beberapa sosok sedang berada di negara tersebut.

Mereka hanya kebetulan saja sama-sama berada di Jepun, bukan dirancang dan malah mungkin tidak sempat pun berbual-bual hal politik Malaysia di sana.

Ismail Sabri dan rombongan yang disertai beberapa menteri seperti Azmin, Saifuddin, Shahidan Kassim, Ahmad Faizal Azumu atau Peja adalah dalam rangka lawatan rasmi ke Jepun selama lima hari.

Jadual mereka padat dengan pelbagai program yang telah diatur seperti perbincangan sesama pemimpin kerajaan, berjumpa sektor korporat, ahli perniagaan dan sebagainya.

Azmin sebagai menteri MITI manakala Saifuddin selaku Menteri Luar Negeri biasanya memang diperlukan dalam lawatan Perdana Menteri ke luar negara.

Dalam waktu yang sama, semasa lawatannya itu, Ismail Sabri selaku Perdana Menteri telah dijemput untuk menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Nikkei, suatu acara tahunan yang diadakan sejak tahun 1995 lagi.

Tun Mahathir pula berada di Jepun kerana kerana memang dijemput untuk menyampaikan ucaptama dalam persidangan tersebut dan sebagaimana kita tahu, bekas Perdana Menteri itu adalah jemputan khas setiap tahun untuk menyampaikan idea dan buah fikirannya dalam Persidangan Nikkei.

Jepun begitu tertarik dengan Tun Mahathir sejak beliau melancarkan dasar pandang ke timur bermula tahun 1982.

Semasa di Jepun dan menyertai Persidangan Nikkei, jadual berucap antara Ismail Sabri dan Tun Mahathir adalah di hari yang berlainan, bukan hari yang sama.

Ismail Sabri hanya sempat berjumpa Tun Mahathir di majlis makan malam sempena Persidangan Nikkei yang diadakan sebelum persidangan bermula sekadar untuk bersalam dan bertanya khabar.

Menteri-menteri yang ikut rombongan Perdana Menteri turut sama hadir dalam majlis makan malam itu.

Apakah hanya kerana mereka bersalam dan bertanya khabar, seterusnya gambar-gambarnya bertebaran di media sosial, maka boleh ditafsirkan telah wujud suatu gerakan politik melibatkan Malaysia?

Adoyaiii….

Untuk melakukan sesuatu gerakan politik, tidak perlu pun sesiapa sampai pergi ke Jepun kerana ia boleh dilakukan di Malaysia tanpa heboh-heboh dan tanpa ada sesiapa mengambil gambarnya.

Untuk itu, langsung tidak ada isu bila Ismail Sabri, Tun Mahathir, Azmin dan lain-lain menteri didapati sama-sama berada di Jepun beberapa hari lalu.

Ia cuma kebetulan dan hanya memeningkan kepala sendiri apabila kita turut serabut kepala mengandaikan yang bukan-bukan di sebalik kebetulan itu.

Tengok mereka ada di Jepun, lebih baik kita ambil kesempatan minum hijau Jepun atau makan sushi untuk menjaga kesihatan daripada mengaitkannya dengan politik yang mungkin meningkatkan lagi tekanan darah sedia ada. – ShahbudinHusin 29/05/2022.