RUU Anti Lompat Parti: J/K MoU akan putuskan tindakan selanjutnya - Fahmi




 

Ketidakpastian sama ada akan diteruskan pembentangan Rang Undang undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat sesi Mac akan diselesaikan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JP) Memorandum Kerjasama (MoU).

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, hanya jawatankuasa pemandu mempunyai kuasa untuk memutuskan apakah yang akan berlaku kepada jadual pembentangan RUU yang akan meminda Perlembagaan Persekutuan itu.

"Mengikut laporan media, difahamkan di pihak kerajaan masih ada parti yang perlu diperoleh maklum balas. Kedua, perkara yang berhubung MoU akan dirunding dan diurus melalui Jawatankuasa Pemandu MoU

"Setakat ini kita belum terima apa apa maklumat tetapi saya lihat berkemungkinan kita akan adakan mesyuarat.

"Sekiranya ada sebarang perubahan pada rancangan membentang RUU Anti Lompat Parti maka JP MoU akan merundingkan tarikh tersebut untuk mendapat persetujuan dari semua pihak," katanya ketika dihubungi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga menjelaskan, sekiranya terdapat parti yang masih memerlukan masa maka mesyuarat Jawatankuasa Pemandu akan memutuskan sama ada lanjutan tempoh boleh diberikan.

Manakala mengenai desakan agar Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada MoU, kata Fahmi, hal itu tidak timbul pada waktu ini.

Malah katanya, kluster mahkamah yang akan beroleh keuntungan sekiranya PH menarik diri dan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri tumbang.

"Kita kena hati hati kerana untuk keluar dari MoU inilah yang diharapkan oleh kluster terdesak ini.

"Jangan kita masuk perangkap mereka yang mahukan kerajaan yang ada sekarang tersungkur. Kita kena berhati hati dari kluster terdesak yang mendesak. Mereka yang mahukan MoU ini gagal.

"Dalam MoU mekanisme untuk berbincang dan cari jalan dilakukan oleh JP MoU. Sekiranya ada keputusan yang dibuat (oleh pihak PH) maka ia bukan kenyataan individu tetapi melalui Majlis Presiden PH," katanya.

Mengenai hujah Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno kononnya PH telah memperdaya PM untuk menandatangani MoU, Fahmi berkata, MoU itu diilhamkan atas titah Yang diPertuan Agong ketika mesyuarat presiden presiden parti bersama Tuanku selepas jatuhnya pentadbiran Muhyiddin, dan bukannya atas kehendak PH semata mata.

"MoU lahir dari titah Tuanku kepada presiden presiden parti yang mana Zahid sendiri hadir. Di mana yang menang tak menang semua dan kalah tak kalah semua.

"Sudah terang dan jelas apa yang dititah Tuanku, atau adakah Presiden Umno sengaja nak sembah derhaka titah Tuanku?

"Saya tak pasti sama ada Zahid dengar tetapi tak faham atau sengaja tak nak faham," katanya.

RUU Anti Lompat Parti memerlukan sokongan kedua dua pihak kerajaan dan pembangkang yang memerlukan majoriti 2/3 dalam mengubah Perlembagaan Persekutuan.