Apa pun situasinya, perkembangan mutakhir yang memperlihatkan Hasni Mohamad besar kemungkinan tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar Johor adalah suatu kegagalan buat UMNO.
Di sebalik Hasni diletakkan sebagai “poster boy” BN yang mana ia merupakan janji kepada rakyat bahawa beliaulah Menteri Besar Johor jika mandat diperolehi dalam PRN negeri baru-baru ini, seterusnya menyaksikan gabungan itu mampu menang 40 daripada 56 kerusi, gagal menunaikan janji tersebut merupakan kegagalan terhadap janji dan perjuangan yang telah diungkapkan.
Meskipun difahami kata akhir dalam perlantikan Menteri Besar adalah di tangan pihak istana, tetapi sebagai parti yang menang pilihan raya dengan mandat besar, UMNO seharusnya mampu mengurus hal ini dengan baik, sesuai dengan sistem Raja Berperlembagaan yang kita amalkan.
Dengan gagal menunaikan janji meletakkan semula Hasni, UMNO akan dilihat rakyat sebagai parti yang gagal dan tidak berpegang kepada janjinya sendiri.
Di mata rakyat, jika janji kepada Hasni pun tidak mampu ditunaikan, apakah deretan janji-janji lain kepada mereka mampu UMNO tunaikan?
Sebab itu, dalam hal ini, keputusan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Shahrir Samad yang enggan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO atau PAU bermula 16 Mac adalah wajar dan tepat.
Beliau dilaporkan malu untuk hadir berikutan kegagalan UMNO meletakkan semula Hasni sebagai Menteri Besar sebagaimana yang dijanjikan kepada rakyat sepanjang kempen PRN Johor.
Sepatutnya bukan saja Shahrir, bahkan semua pemimpin UMNO wajar berasa malu dan sekayaknya menukar PAU tahun ini menjadi majlis tahlil serta bacaan yassin.
Kemenangan besar di Johor dan perjuangan UMNO sudah tiada bermakna lagi.
Teriakan kemenangan dan rasa bangga berikutan kejayaan meraih kemenangan lebih dua pertiga dalam PRN Johor kini bertukar menjadi mimpi ngeri yang menyedihkan.
Mahu tidak mahu, Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO harus memikul kegagalan ini dan sepatutnya turut berasa malu kerana gagal memastikan apa yang dijanji kepada rakyat dapat ditunaikan dengan sebaiknya.
Selepas ini, siapa mahu percaya kepada UMNO lagi?
Ia seumpama lain barang yang ditempah, tapi barang lain yang diperolehi.
Untuk itu, sudah tidak relevan lagi untuk UMNO terus mendesak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar mengadakan PRU15 lebih awal, terutama melalui pentas PAU yang bakal berlangsung sehari dua lagi.
Berikutan kegagalan menunaikan janji di Johor itu, terus mendesak PRU15 diawalkan tidak lebih hanya mengundang cemuhan serta bahan ketawa rakyat terhadap UMNO.
Lupakanlah hasrat untuk mengadakan PRU awal, apalagi melalui desakan serta ucapan berapi-api perwakilan PAU yang khabarnya memang disusun rapi.
Sebaiknya, UMNO menggunakan pentas PAU kali ini untuk mengubati kegagalan menunaikan janji dalam perlantikan Menteri Besar Johor itu agar kepercayaan rakyat terus tidak terhakis menuju PRU15 yang seelok-eloknya diadakan pada tahun depan dan selepas pemilihan parti dilangsungkan terlebih dahulu. – ShahbudinHusin 15/03/2022.