KDNK hingga 6.5% tahun ini mampu dicapai, kata Zafrul
KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara yang diunjurkan sekitar 5.5 hingga 6.5% pada tahun ini mampu dicapai, dipacu oleh indikator-indikator positif termasuk pengurangan jumlah penganggur.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bilangan penganggur pada November 2021 menunjukkan trend menurun selepas mencatat seramai 694,400 orang berbanding 705,000 orang pada Oktober 2021.
Menurutnya, indikator lain seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara yang meningkat 9.4% tahun ke tahun pada November 2021, dipacu oleh peningkatan dalam indeks pembuatan, elektrik dan perlombongan.
Malah, kata beliau, bagi tempoh sama, jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan paras tertinggi iaitu 7% tahun ke tahun kepada RM118.1 bilion yang mengatasi paras bulan sebelumnya sebanyak RM116.2 bilion.
“Oleh itu, secara keseluruhannya kalau kita lihat petanda-petanda ini, ia jelas menunjukkan bahawa unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu dapat dicapai. Kita juga dapat melihat lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan serta mengembalikan sentimen positif negara terutamanya selepas pandemik Covid-19.
“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat tiga peratus tahun ke tahun manakala unjuran kerajaan bagi keseluruhan tahun tersebut adalah sekitar 3.0 hingga 4.0%,” kata beliau dalam program bual bicara Inklusif yang disiarkan di saluran TV1, malam tadi.
Mengulas selanjutnya, Zafrul berkata walaupun negara masih berdepan dengan cabaran akibat pandemik Covid-19 pada tahun ini, tempoh itu sebaliknya juga merupakan tahun pemulihan ekonomi yang menyaksikan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM322 bilion menerusi Bajet 2022 iaitu angka terbesar dalam sejarah negara.
“Fokus kerajaan adalah untuk kesejahteraan rakyat dan membina daya tahan sektor perniagaan selain membina ekonomi agar lebih makmur dan mampan,” katanya.