Sistem RFID banyak kelemahan, kenapa perlu terburu buru?
Pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang dimulakan di plaza tol Lebuh Raya Utara Selatan mulai Januari 2022 dipersoalkan oleh penguna kerana terdapat beberapa kelemahan.
Bagi Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN Johor, Firdaus Zainal, pengguna RFID yang kerap tersangkut di pintu tol dan pelekat RFID yang dianggap kurang bermutu menyebabkan pengguna tidak berpuas hati.
“Kegusaran yang bermain di minda netizen juga kerana caj untuk memiliki pelekat RFID menelan hampir kos RM30.
“Itu belum termasuk kos tambah nilai untuk kegunaan di lebuh raya. Malah lebih membimbangkan kerap terjadi pengguna sistem ini terkandas di plaza tol kerana berlaku masalah imbasan pelekat yang dilekatkan di kenderaan, memaksa pengguna mengundurkan kenderaan dan mencuba berkali-kali sehingga mengakibatkan kesesakan di plaza tol,” katanya.
Menurut Firdaus lagi, rakyat tidak menolak pembaharuan tetapi setiap teknologi baharu perlulah diuji dan dipastikan tidak mempunyai kelemahan sebelum diperkenalkan.
“Netizen tidak menolak pembaharuan dan faham RFID untuk menjimatkan masa menghadapi kesesakan. Cuma mereka berharap perlaksanaannya tidaklah perlu tergesa-gesa dan jika mahu diteruskan sekalipun, penambahbaikan sistem RFID perlu dipertingkatkan seperti menggunakan pelekat yang berkualiti tinggi dan kepekaan imbasan perlu ditambah agar tidak lagi berlaku isu pengguna terkandas di plaza tol kerana kegagalan imbasan sistem meskipun telah mematuhi cara guna pakainya,” kata beliau lagi.
RFID merupakan sistem pembayaran tol yang dijangka mengelakkan kesesakan kerana pengguna boleh melalui pintu tol dengan kelajuan lebih tinggi berbanding Smart Tag. Sistem ini diperkenalkan sejak 2018 di lebuhraya dan plaza tol terpilih.
Dijangka perlaksanaan menyeluruh RFID secara berperingkat akan membawa negara ke arah Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti Berbilang Laluan (MLFF) 2026 akan datang.