Isu DNB: Timbalan menteri Umno bidas Menteri Bersatu

 

Isu DNB: Timbalan menteri Umno bidas Menteri Bersatu


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin hari ini membidas bekas menterinya Saifuddin Abdullah dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kerana membincangkan Digital Nasional Berhad (DNB) dan rangkaian liputan 5G negara secara rahsia.

Ini di sebalik makluman Zahidi di Parlimen minggu lalu bahawa Kementerian Kewangan (MOF) telah memutuskan DNB secara unilateral, walaupun ia kemudiannya disangkal oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

“Saya agak kecewa kerana bekas menteri (komunikasi dan multimedia) Saifuddin Abdullah berkata mereka sudah berbincang dengan menteri kewangan.

“Jadi, menteri-menteri berbincang sesama sendiri dan melaksanakan projek DNB ini yang melibatkan hampir RM20 bilion tanpa penglibatan orang bawahan. Malah, timbalan (menteri) pun tak tahu.

“Jadi sebab itu semasa saya jawab di Parlimen, saya tidak ada maklumat mengenai perbincangan antara menteri kerana ia tidak dimaklumkan kepada saya,” kata Zahidi pada sidang media di Parlimen hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek turut hadir pada mesyuarat menteri-menteri berkenaan, katanya.

Pegawai SKMM yang lain juga tidak dimaklumkan mengenai butiran mesyuarat itu, kata Zahidi yang menambah Fadhlullah tidak menghadiri sebarang mesyuarat dengannya sejak dia mula menjawab soalan di Parlimen.

Menurutnya, dia juga tidak tahu mengapa Saifuddin tidak memaklumkannya mengenai perbincangan dengan MOF tetapi menyindir mungkin kerana menteri itu dahulunya adalah ahli PKR dan dirinya adalah dari Umno.

Apapun, Zahidi menggesa para menteri supaya lebih telus dan terbuka pada masa akan datang, terutamanya apabila ia melibatkan projek mega seperti pelancaran rangkaian 5G.

“Saya harap pada masa akan datang, menteri yang ada perbincangan dengan menteri lain, maklumkan perkara itu kepada timbalan kamu dan kepada rakyat kerana kita mahu telus.

“Projek ini adalah projek rakyat dan melibatkan RM20 bilion. Jadi rakyat ingin tahu tentang semua butiran seperti mengapa monopoli diberikan kepada DNB dan Ericsson, apakah pelan mitigasi, pengurusan risiko,” katanya.

Zahidi menambah bahawa kerahsiaan dalam perkara itu akan mengundang syak wasangka rakyat mempersoalkan kepentingan peribadi tertentu yang berlegar di situ.

“Jadi kalau boleh jangan berahsia. Kalau nak berahsia, menteri yang mesti jawab di Parlimen, bukan saya.

“Kita kena telus, jadi siapa pun, saya harap ia bukan perbincangan dua orang sahaja, dengan Saifuddin bercakap dengan Zafrul, kedua-duanya kata okay, okay, okay dan selepas itu, projek itu dilaksanakan.

“Tolong, saya harap pada masa akan datang, kongsi maklumat kerana kerajaan hari ini, kita mahu telus dan begitu juga perdana menteri,” katanya, memetik Malaysiakini.

Fadhlullah juga harus lebih kerap menghadiri sidang Parlimen untuk menjawab soalan berkaitan DNB dan pelancaran rangkaian 5G, tambahnya.

Zahidi juga berkata dia mempunyai tanggungjawab kepada ahli Dewan Rakyat termasuk pembangkang kerana mereka mempunyai memorandum persefahaman (MOU) bersama.

Tidak ada yang tidak wajar tentang pembangkang mempersoalkan DNB dan pelancaran rangkaian 5G, katanya, kerana terdapat banyak persoalan yang tergantung.

Ini termasuk apakah rancangan mitigasi, pengurusan risiko, bagaimana vendor bumiputera akan terlibat dalam projek itu dan mengapa kontrak itu diberikan kepada Ericsson, kata Zahidi.

Zahidi berkata, terdapat juga banyak aduan yang diterima oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung projek itu.

“Mereka tidak mengadu kepada MOF kerana persepsi di luar sana adalah bahawa telekomunikasi adalah di bawah bidang kuasa SKMM, jadi mereka datang kepada saya tetapi saya tidak tahu apa-apa.

“Kenapa? Tanya MOF. Mereka harus jelaskan kepada rakyat.

“Jika kamu ingin ambil alih projek ini, jelaskan kepada rakyat, ‘Kami telah mengambil alih 5G jadi jangan kemukakan soalan kepada SKMM. Tanya kami, MOF’,” sindir Zahidi.

Awal hari ini, Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa memaklumkan bahawa anggaran kos projek itu adalah kira-kira RM12.5 bilion.