Kira-kira 50% pengusaha bas sekolah di negara ini didakwa gulung tikar dengan ada pengusaha melupuskan bas sekolah masing-masing di premis besi buruk pada harga RM4,000 hingga RM8,000 bergantung pada saiz.
Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia, R Thiagarajan, berkata penularan Covid-19 menyebabkan sekolah di negara ini ditutup sejak tahun lalu, sekaligus menjejaskan pendapatan pengusaha bas sekolah.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor berkata, pembukaan sekolah di beberapa negeri bermula esok dijangka tidak banyak membantu pengusaha bas sekolah di seluruh negara.
Katanya, ia berikutan hanya murid di kelas dan tingkatan tertentu dibenarkan kembali ke sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di setiap negeri.
“Kira-kira 50% pengusaha bas sekolah di negara kita sudah gulung tikar dengan kebanyakannya sama ada sudah menjual bas atau van mereka, atau ditarik syarikat kewangan, berikutan hilang punca pendapatan akibat Covid-19, sekali gus tidak mampu membayar ansuran bulanan.
“Kebanyakan pengusaha bas sekolah yang masih bertahan juga belum bersedia untuk beroperasi semula berikutan kekangan kewangan serta modal bagi menyiapkan bas sekolah untuk kembali beroperasi terutama penyelenggaraan bas dan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Permintaan perkhidmatan bas sekolah dari ibu bapa juga tidak menggalakkan berikutan bukan semua murid kembali bersekolah bermula esok dan Isnin, malah isu utama adalah tambang sama ada ia mampu membiayai kos operasi pengusaha berikutan tidak ramai murid kembali bersekolah serta menggunakan khidmat bas sekolah.
“Persatuan juga mendapat banyak aduan daripada pengusaha yang bas atau van sekolah mereka kini sudah ditarik syarikat kewangan kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan akibat kehilangan pendapatan sejak tahun lalu,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Sementara itu, pengusaha bas sekolah di Johor Bahru, Hussin Karamdin, 49, berkata beliau sudah menjual semua bas sekolahnya bagi menampung kos hidup yang terjejas akibat Covid-19.
Katanya, terdapat juga pengusaha bas sekolah kecil yang melupuskan bas sekolah masing-masing di premis besi buruk dengan harga antara RM4,000 hingga RM8,000 bergantung pada saiz.
“Saya kehilangan pendapatan sejak tahun lalu dan terpaksa menjual ais krim dan kuih-muih bagi menampung hidup dan membayar hutang.
“Sebelum ini saya ada empat bas sekolah dan dua van namun sekarang hanya tinggal dua, yang lain sudah dijual bagi menampung keluarga,” katanya.
Seorang lagi pengusaha bas, Paul Raj, 33, sedang menimbangkan untuk menjual sebuah bas sekolah dan dua van yang dimilikinya.
“Saya kini hanya mengharapkan pendapatan sebagai penghantar makanan dan sudah tidak mampu membayar ansuran pinjaman bulanan, apatah lagi moratorium pinjaman sudah tamat dan perlu mula membuat bayaran ansuran.
“Walaupun esok sekolah di Johor akan mula dibuka, bukan semua murid dan pelajar dibenarkan kembali ke sekolah malah, saya seperti pengusaha lain, tidak mampu dan tiada modal untuk memulakan kembali operasi bas sekolah berikutan tiada permintaan dari ibu bapa untuk menggunakan perkhidmatan bas sekolah.