Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr
Adham Baba seharusnya mengucapkan penghargaan dari kerajaan Perikatan Nasional
terhadap sumbangan doktor kontrak sebagai barisan hadapan menangani Covid 19.
Namun kata Ahli Parlimen Johor
Bahru, Akmal Nasir, tidak ada satu pun ucapan yang menyentuh doktor kontrak
demi memperbaiki kedudukan mereka dalam skim jawatan kerajaan.
"Saya kena nyatakan bahawa
doktor di luar mengunggu bila menteri beri penerangan, beri sedikit
pengiktirafan apa yang doktor muda buat selama ini. Malangnya, masa yang
diberikan selama 55 minit langsung tidak disebut oleh Menteri Kesihatan (jasa
doktor kontrak). Yang mana kalau kita lihat dari segi kekuatan, doktor yang
bertugas dalam negara sekitar 71,000 orang.
"Dari jumlah tersebut
52,000 berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Masalahnya doktor
kontrak ini berjumlah 23,000. Maksudnya lebih 40% yang berkhidmat atas dasar
kontrak.
"Walau diberi nasihat
jangan buat hartal semalam, ternyata anak-anak muda profesional yang bertungkus
lumus menyelamatkan nyawa (dan melakukan hartal) langsung tidak diambil peduli
oleh kerajaan," katanya dalam mencelah sesi perbahasan Ketua Pembangkang
mengenai ucapan Menteri Kesihatan di Dewan Rakyat, tengah hari tadi.
Sementara itu, Ahli Parlimen
Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menimbulkan isu masalah doktor kontrak
yang telah pun disebut oleh Pengarah Kesihatan sendiri dalam tertekan dengan
keadaan kerja mereka tetapi tidak diselesaikan oleh kerajaan.
"Ada antara hujah bila
menyebut masalah dokor kontrak ini, kita mengatakan terlalu ramai graduan
perubatan. Tetapi kalau kita memetik ciapan underfunded, understaff, underpaid, overworks,
overcrowded, bukan daripada orang lain
tetapi Ketua Pengarah Kesihatan kita sendiri pada beberapa tahun yang lepas.
"Ini menunjukkan betapa
kurangnya peruntukan untuk sektor kesihatan. Jadi itu sepatutnya menjadi
tumpuan dalam sektor kesihatan dalam menangani masalah doktor kontrak
ini," katanya.
Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk
Abdullah Sani Abdul Hamid pula, isu doktor kontrak sepatutnya telah lama
diselesaikan dan tidak lagi menjadi perbincangan pada waktu pendemik ini.
"Saya meneliti
perkembangan terkini, doktor kontrak dan jururawat kontrak yang telah
berlarutan bertahun-tahun. Melihat perkembangan ini dalam undang-undang, ada
tempoh percubaan.
"Tetapi kerajaan hari ini
bukan saja dilayan (tidak sepatutnya kepada) mereka yang menjadi barisan
hadapan, berkorban jiwa dan keluarga mereka. Tetapi mereka diambil tindakan
disiplin. Ini (hartal) bukan (soal) disiplin, ini hak mereka.
"Satu lagi, elaun kritikal. Elaun ini telah pun ada tetapi mesti dikaji semula (amaunnya) kerana pengorbanan mereka dalam pandemik Covid 19," katanya.