Tindakan laporan polis terhadap menteri Pas kerana derhaka adalah langkah politik jahat, kata Khairuddin
Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menyifatkan tindakan lapor polis terhadap Menteri Undang-Undang Datuk Takiyuddin Hassan kerana menderhaka merupakan langkah politik sumbang dan jahat.
Khairuddin berkata, tindakan itu bukan sahaja politik sumbang dan jahat serta mengelirukan rakyat malah cuba untuk menangguk kepentingan politik yang sempit.
“Laporan polis atas tuduhan kononnya DS Takiyuddin menderhaka apabila membuat ulasan tentang langkah kerajaan selari dengan panduan Istana benar-benar merupakan langkah politik sumbang dan jahat serta mengelirukan rakyat malah cuba menangguk kepentingan politik yang sempit.
“Dalam situasi YDPA mahu rakyat bersatu menangani covid-19 ada pihak yang masih mahu berpolitik,” kata beliau melalui facebooknya.
Justeru beliau meminta rakyat agar menolak politik sumbang seperti ini.
“Kerajaan PN dengan dokongan rakyat insyallah akan berjaya mengharungi cabaran pandemik ini sebagaimana pelan pemulihan yang telah dirancang,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan PN selari dengan pandangan yang dizahirkan oleh Istana Negara semalam sedang bergerak untuk menangani covid-19 menerusi Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri.
“Malah program imunisasi yang diperkasakan menerusi pelan tersebut adalah langkah drastik untuk membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal dan juga membolehkan parlimen dapat segera bersidang secara normal,” katanya.
Terdahulu, laporan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Pakatan Harapan Shazni Munir agar menyiasat kenyataan Takiyuddin yang didakwa memperlekeh pandangan Seri Paduka Baginda supaya menyegerakan sidang Parlimen.
Pada Rabu, Takiyuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan sebarang tarikh untuk memulakan sidang Dewan Rakyat.
Yang di-Pertuan Agong, pada Selasa bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara