Propaganda peringkat akar umbi penyokong Umno yang masih menamakan
kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Pakatan Harapan (PH) amat mengelirukan
rakyat terutama di luar bandar.
Menggunakan sebahagian pimpinan PN dari Bersatu sebagai momokan,
kononnya kerajaan masih dikuasai PH, propaganda seperti itu menipu orang
kampung yang tidak sedar kerajaan telah pun bertukar pada Mac 2020 lalu.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan
Ismail, Umno dan Pas perlu berlaku jujur mengenai kelemahan PN.
Katanya, sekiranya PN lemah maka jentera penerangan mereka tidak
perlu mengaitkan kelemahan tersebut ke atas kerajaan PH yang memerintah selama
22 bulan.
"Sepatutnya apa yang diluahkan itu (kelemahan) mendatangkan
kekesalan (ke atas mereka sendiri), dan terbukti bahawa kombinasi di antara
Pas, Bersatu dan BN sebenarnya tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat,"
katanya ketika dihubungi.
Namun, Azan kesal ketidak berkesanan menteri-menteri Umno dan Pas
cuba disembunyikan dengan licik dan penerangan di peringkat bawah menunding
kepada bobroknya menteri-menteri Bersatu yang sebelum ini berasal dari kerajaan
PH.
Sedangkan, kata Azan, PH telah mencuba sedaya upaya ketika
memerintah untuk menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke 14.
Katanya, pelbagai perubahan seperti memansuhkan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) yang sekiranya masih berkuatkuasa akan menyebabkan harga
barang melambung pada hari ini, juga mewujudkan beberapa skim membantu golongan
B40 seperti i-Suri, Peka40 dan lain-lain cuba ditutup rapat oleh propaganda
pemerintah.
"Apabila PH mengambil alih, segala isu berkaitan rakyat
seperti GST, harga barang, kos sara hidup (pembaikannya) dalam peringkat
perlaksanaan pada tahun kedua pemerintahan, tetapi Umno BN, Pas dan PN terus merompak
kuasa yang diambil secara pintu belakang.
"Segala perancangan untuk menstruktur semula ekonomi rakyat
yang dicadangkan sebelum ini tergendala.
"Jadi bagaimana hendak dilaksanakan sedangkan mereka (PN)
telah merompak dan menubuhkan kerajaan pintu belakang secara tidak demokratik
dan mengikut undang-undang," katanya lagi.
Sehubungan itu, Azan menyeru agar jentera propaganda akar umbi
Umno juga Pas lebih jujur dan mengakui kekurangan kerajaan PN.
Katanya, dalam keadaan pandemik Covid 19 adalah lebih baik
digembeleng usaha bersama kerajaan dan pembangkang memulihkan ekonomi rakyat,
daripada bermain politik dan propaganda murahan yang mengelirukan serta tidak
menguntungkan sesiapa.