Kerajaan PN tiada idea hadapi ekonomi pasca Covid?
Keperitan ekonomi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020 tidak begitu dirasakan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi banyak subsidi, moratorium pinjaman dan wang tunai kepada rakyat.
Bagaimanapun, menurut Ahli Exco Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Saifullah Zulkifli, pada PKP 2.0 rakyat terasa keperitan yang mencengkam kerana sebahagian bantuan yang dinikmati pada tahun lalu tidak lagi disediakan.
“Saya terbaca kenyataan media gabungan persatuan usahawan termasuk Cina, India, Melayu. Persatuan peruncitan, makanan, latihan, semuanya keluarkan kenyataan meminta tindakan yang lebih tuntas dalam menanggapi Covid, terutama membantu industri kecil dan sederhana agar tidak mati.
“Hari ini realitinya rakyat berdepan dengan pengangguran yang cukup membimbangkan. Apatah lagi anak muda yang baru hendak hidup, bawah 30an, tiada rumah, baru merancang untuk berkahwin.
“Hal ini perlukan perhatian yang lebih teliti dan sensitif daripada kerajaan. Misalnya saya sebagai seorang usahawan mengharapkan polisi lebih prihatin dan cakna rakyat.
“Tetapi di dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan, kita tidak nampak impak. Sebagai usahawan, Program Subsidi Upah (PSU) beri kesan besar kepada kami untuk membayar upah pekerja dalam waktu PKP dan tiada jualan. PKP pertama dulu diberi PSU tetapi kali ini bila PSU tak ada memang beban dirasai oleh pihak majikan,” katanya dalam forum ‘Membangun Politik Malaysia Bersama Anak Muda’ di Facebook anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.
Menurut Saifullah lagi, sekiranya kerajaan PN tidak bertindak lebih bijaksana, PKP 2.0 akan mendatangkan kesan yang lebih buruk berbanding PKP pada 2020.
Pada tahun lalu, katanya, data yang dikeluarkan mendapati sepanjang 6 bulan berlaku 1,000 kejadian bunuh diri manakala kadar pengangguran mencecah 800,000 orang.
Untuk itu, kata Saifullah, kerajaan PN harus respons terhadap keperluan baharu dalam ekonomi, misalnya Revolusi Industri (IR) 4.0 yang menyediakan medium ekonomi digital dan boleh bergerak dalam suasana Covid.
“Namun apakah dasar-dasar baharu mendepani IR 4.0 mendapat galakkan?
“Dalam konteks ini saya kecewa dengan Belanjawan 2021. Bila saya lihat belanjawan Selangor saya lebih lega. Maksudnya saya tahu pelbagai insentif yang diumumkan Selangor.
“Apa yang saya kagum nampaknya Selangor serius beri penekanan terhadap IR 4.0. Mereka menyalurkan dana yang besar hampir RM100 juta kepada program inovasi .
“Melaui dana inilah program baru seumpama Grab, Food Panda dan sebagainya dapat dikeluarkan.
“Inisiatif ini mampu menggalakkan inovasi baru. Misalnya Grab yang asalnya diasaskan oleh anak muda Malaysia tetapi tidak ada galakan dari kerajaan maka mereka bawa ke Singapura .
“Begitu juga ABNB adalah inovasi sekumpulan anak muda yang cuba menyewakan rumah mereka. Seperti Amazon, hanya jual buku di garaj pada mulanya tetapi kerana pengasasnya duduk di Amerika Syarikat yang banyak fasiliti untuk mengembangkan inovasi maka terjadilah Amazon,” katanya lagi.
Bagi saifullah, sekiranya kerajaan PN mahu mentadbir secara berkesan maka mereka amat perlu merangka program sosio ekonomi pasca Covid.
Jika tidak, apabila pandemik berakhir katanya, Maaysia akan ketinggalan apabila jiran-jiran di Asia Tenggara mula memecut ekonomi mereka.
“Program untuk menyambut IR 4.0 kerajaan PN masih di belakang dan tidak bersedia mendepani ekonomi norma baharu. Suasana sudah tak sama seperti dahulu, sekarang kalau tak iklan di online kita akan ‘mati’ kerana tidak ikuti perkembangan semasa.
“Kalau tanya saya, masalah Covid kita akan dapat mendepaninya sekitar April hingga Mei dan ke atas.
“Namun demikian isu besar ialah bagaimana virus itu telah merubah budaya sosio ekonomi dalam pasca pandemik. Jadi kerajaan harus menggubal dasar-dasar yang selaras dan bersesuaian dengan norma baru dan keadaan baru yang bakal kita hadapi,” katanya lagi