HANYA TIDAK BERSAMA BERSATU/PN LEBIH MEMBERI PELUANG UMNO DAPAT SEMULA JAWATAN PM

 

Dalam PRU15 akan datang, dua matlamat yang ingin dicapai UMNO ialah menang pilihanraya dan mendapatkan kembali jawatan Perdana Menteri.

Lantaran itu, keputusan terbaru yang difahamkan diputuskan oleh MT UMNO iaitu menolak kerjasama dengan PN dalam PRU15 akan datang serta tidak menerima tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri, ia adalah sesuatu yang munasabah untuk mencapai dua matlamat tersebut.

Selain itu, keputusan MT UMNO itu juga selaras dengan usul putus hubungan dengan Bersatu yang telah diluluskan oleh majoriti UMNO bahagian-bahagian seluruh negara, baru-baru ini.

Hanya dengan tidak bekerjasama dengan PN dan Bersatu saja merupakan laluan lebih terbuka untuk UMNO menang PRU15 dan seterusnya menduduki semula kerusi Perdana Menteri.

Sebaliknya, jika UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan PN, sementara menang PRU15 belum pasti, yang lebih dulu terpaksa dikorbankan ialah banyak kerusi Parlimen serta jawatan Perdana Menteri kepada Bersatu.

Tujuan Bersatu menarik UMNO bekerjasama dengannya tidak lain ialah bagi memperolehi banyak kerusi untuk mereka ditandingi, selain supaya Muhyiddin Yassin dikekalkan lagi sebagai Perdana Menteri.

Dengan itu, UMNO cuba digula-gulakan dengan tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi dari segi jangka panjang dan mungkin hingga akhir zaman, menerima tawaran itu akan terus menjadikannya hilang peluang untuk mendapatkan semula jawatan Perdana Menteri.

Lebih daripada itu, jika setuju bekerjasama dengan Bersatu dan PN juga, UMNO sebagai parti lebih besar akan terus menjadi ‘khadam’ yang dibuli oleh Bersatu dan Muhyiddin yang diketahui umum gerakan politiknya banyak dipapan-caturkan oleh Hamzah Zainuddin serta Azmin Ali.

Tetapi, apabila UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PN, pertandingan dalam PRU akan datang pasti menjurus kepada persaingan tiga penjuru antara BN, PH dan PN.

Dalam senario kebencian dan rasa meluat rakyat sedang memuncak kepada Muhyiddin dan kerajaan sekarang serta dijangka berterusan hingga ke peti undi, harapan PN untuk menang banyak kerusi dalam PRU akan datang adalah tersangat tipis.

Walaupun dalam PN ada Bersatu dan Pas, kelompok pengundi Melayu/Islam jauh lebih meyakini UMNO yang sederhana, memiliki barisan kepimpinan berwibawa serta punya rekod memimpin negara berbanding kedua-dua parti tersebut.

Di kerusi-kerusi Melayu, tambahan lagi dengan Bersatu tiada akar umbi dan jumlah cawangannya di sesetengah bahagian pula lebih sedikit daripada jumlah jari di kiri kanan tangan, BN dijangka akan meraih lebih banyak kemenangan berbanding PN.

Keberadaan Pas dalam PN dan untuk membantu Bersatu dirasakan turut tidak mampu menyumbang kelebihan kerana pengundi Melayu/Islam kini rata-ratanya sedar parti Islam itu adalah parti paling tidak berguna setelah mereka merasa nikmat kuasa.

Semua perjuangan dan gembar-gembar perkara-perkara yang kononnya dituntut Islam dan akan dilaksanakan apabila beroleh kuasa, kini disedari rakyat hanyalah auta dan temberang belaka.

Pas dalam PRU akan datang sukar mengelak daripada dihukum pengundi, malah kelakuannya yang menyertai PN kerana lebih tertarik kepada Bersatu, sedangkan sudah ‘bertunang’ dengan UMNO dalam MN, hanya menyerlahkan perangai galak dan tidak setia parti Islam itu.

Tanpa keraguan sebenarnya, walaupun BN mungkin mustahil mampu menang melebihi 112 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan secara sendirian, tetapi jumlah kerusi kemenangannya tetap diyakini melebihi PN.

Persaingan sebenar BN untuk siapa menang lebih banyak kerusi hanya PH semata-mata.

Sedemikian, jika UMNO dan BN menang lebih banyak kerusi berbanding PN, maka dialah yang berhak memulakan rundingan untuk menubuhkan kerajaan.

Jika bekerjasama dengan PN sudah cukup untuk membentuk kerajaan, mungkin turut disertai dengan GPS daripada Sarawak, maka BN boleh memulakan inisiatif ke arah itu.

Begitu pun, jika PN tidak cukup kerusi, BN boleh pula beralih kepada PH untuk membentuk kerajaan baharu, di samping tidak melupakan GPS yang memang selesa bergerak bersendirian.

Yang penting, melalui jumlah kerusi yang BN diyakini menang lebih banyak berbanding PN, UMNO tidak saja akan kembali menerajui kerajaan selepas PRU akan datang, bahkan lebih penting dapat merampas kerusi Perdana Menteri yang kini dipegang Muhyiddin untuk menjadi miliknya semula. 


(Shahbudindotcom 21/02/2021)