Sehingga ini dua pemimpin UMNO negeri telah bersuara enggan berkongsi sebarang kerusi dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.
Mereka ialah Saarani Mohamed, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak dan Noh Omar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.
Menurut Saarani, semua kerusi Parlimen dan DUN di Perak yang tandingi UMNO dalam PRU14 lalu akan kekal kekal ditandingi parti jtu pada PRU15 akan datang.
“Kalau ada keikhlasan untuk menyokong dan mendokong penyatuan Melayu di negeri Perak, jangan ganggu kerusi UMNO
“Terdapat dua Adun Bersatu di Perak sekarang iaitu di Sungai Manik dan Tualang Sekah, tetapi kedua-dua kerusi itu sebenarnya hak UMNO.
“Jadi, UMNO akan letak calon bertanding di kawasan tersebut,” tegas Saarani lagi.
Noh Omar pula berkata, UMNO Selangor kekal dengan pendirian untuk tidak berkompromi atau memberi memberi sebarang kerusi milik mereka kepada Bersatu.
UMNO bagaimanapun tegasnya, bersedia untuk menyokong dan membantu Bersatu di mana-mana kerusi yang mereka bertanding, tetapi bukan milik UMNO.
Sehubungan itu, beberapa pemimpin Bersatu tampil membidas pendirian kedua-dua pemimpin UMNO itu serta melabelkannya sebagai pencetus perpecahan Melayu.
Ada juga yang berkata, soal pembahagian kerusi seharusnya dibincangkan secara tertutup, bukan bebas diperkatakan di media massa.
Meskipun ramai pemimpin Bersatu marah kepada Saarani dan Noh, apa yang mereka perkatakan sebenarnya bukan sesuatu yang salah.
Ini kerana dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian seluruh negara pada 1 hingga 3 Januari lalu, majoritinya telah meluluskan usul setuju agar UMNO memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU akan datang.
Apabila setuju putus hubungan, bermakna tiada lagi kerjasama dan tiada lagi kongsi-kongsi kerusi antara UMNO dengan Bersatu.
Yang ada ialah UMNO mesti sedia untuk berlawan dengan Bersatu.
Jadi, tidak salah apa-apa pun bila ada pemimpin UMNO seperti Saarani dan Noh bersuara enggan berkongsi kerusi dengan Bersatu.
Malah, suara mereka itu selari dengan usul yang telah diluluskan yang menggambarkan itulah kehendak akar umbi UMNO.
(Shahbudindotcom 18/02/2021)