Oleh Nor Miswary Ramli
(Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Segambut)
Tahun 2020 yang ditunggu-tunggu sejak kita kecil akan berakhir hari ini. Tahun istimewa yang dinanti-nanti semenjak saya dibangku sekolah lagi akan tamat hari ini. Tahun yang sarat dengan imaginasi tersendiri – bagaimana rupa Malaysia pada tahun 2020? Apakah kemajuan
yang telah kita capai dalam tahun 2020 ini atau ia sebenarnya rahim yang melahirkan kegagalan terbesar dalam sejarah moden Malaysia?
Jauh di sudut hati, tahun 2020 seolah-olah tiada apa yang boleh kita kenang – sekurang-kurangnya sebagai memori paling manis. Kalaupun kita cuba memerah ingatan mencari-cari apakah detik yang paling manis untuk dikenang, memori itu seakan-akan tiada. Tahun 2020 seakan hilang pergi seperti debu berterbangan seusai Thanos memetik jarinya dalam Avengers: Infinity War.
Matlamat akhir yang dicita‐citakan apabila tiba pada hujung tahun 2020 seperti hari ini – ialah sebuah negara Malaysia yang benar‐benar maju. Kemajuan yang dicita-citakan tidak hanya terhad dalam kegiatan ekonomi malah merangkumi politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka seharusnya telah bersedia menjadi negara yang benar‐benar maju, bersatu-padu biarpun berbeza bangsa dan agama, mampu berdikari, progresif serta mengecapi kemakmuran. Rakyat Malaysia pada tahun 2020 akan dapat menikmati kehidupan sebagai sebuah masyarakat yang demokratik, bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi.
Adakah kita sedang merasainya hari ini? Jika tidak, tidaklah bermakna kita telah gagal atau sesiapa yang pernah mengusahakannya juga turut gagal. Jadi, jika berjaya pun tidak, gagal pun tidak, apakah kita patut lupakan sahaja angan-angan tersebut atau sekurang-kurang menjadikannya bekal buat mengadap tahun baharu, tahun 2021?
Kalaupun ada yang mahu melupakan semua titik hitam dalam tahun 2020 – mungkin bermula dengan Langkah Sheraton dan siri pengkhianatan politik, Kerajaan tebuk atap yang tidak absah, gelombang parti politik yang ombak tinggi melangit, Covid-19 yang memenatkan yang masih terlalu jauh dari mahu tamat dan pergelutan ekonomi rakyat yang sangat tajam meruncing.
Dengan kesemua senarai panjang yang kelihatan tidak mahu surut ini, mungkin kita boleh simpan sikit cita-cita dan semangat tahun 2020 untuk membina negara bangsa sebagaimana yang pernah dirangka pada tahun 1991. Asas kepada pembinaan tersebut adalah untuk mewujudkan sebuah identiti kebangsaan yang inklusif buat rakyat Malaysia.
Sebuah negara bangsa hanya dapat ditempa oleh rakyatnya yang telah pun menerima perbezaan di kalangan berlainan bangsa sebagai satu kelebihan. Nilai tersebut menjadikan negara bangsa yang dicita-citakan menjadi begitu unik dan tidak akan menyerupai negara lain sehingga mengabaikan identiti dan etnik sendiri.
Tahun 2021 bukan tahun untuk kita mengeluh sesal atas apa yang berlaku pada tahun 2020. Nombor satu (1) dalam 2021 adalah pengiraan baharu selepas nombor sifar (0) dalam tahun 2020. Ia seperti momen di mana Batman cuba mencetuskan idea menghidupkan semula Superman dalam Justice League – penting dan genting tetapi boleh dijayakan (workable).
Kita mulakan dengan kaki kanan untuk melangkah tahun 2021. Cita-cita sebuah negara bangsa yang mahu diperkenalkan dan diusahakan semenjak 1990-an kita mulakan semula pada hari pertama tahun 2021. Sebuah negara bangsa akan membantu kita menghadapi pergelutan ekonomi, pandemik, pasang surut kepercayaan rakyat kepada ahli politik, kemerosotan kesihatan dan kelemahan menjaga kebajikan.
Hanya sebuah negara bangsa sahaja yang akan menyatukan kita semua. Sebuah negara bangsa tidak akan mengikat kita dengan kebanggaan bangsa dan agama, kepercayaan politik, latar pendidikan atau kekayaan sehingga membezakan diri kita dengan saudara kita yang lain. Lambang-lambang tersebut akan hanya duduk bersemayam di dalam diri masing-masing, tidak pula dipamer dan dijadikan baju perisai diri. Kita akan berjaya kali ini.