INI SEMUA SERAMPANG EMPAT MATA MAHATHIR - HALANG ANWAR, SEKAT KU LI, BENAM NAJIB DAN KEKALKAN MUHYIDDIN


Bersama Tengku Razaleigh Hamzah, bekas musuh politiknya, Tun Mahathir Mohamad semalam mengadakan sidang media untuk menawarkan diri mereka menerajui negara dengan matlamat menjadikan Malaysia kembali sebagai “Harimau Asia”.

Mereka juga sedia memberi khidmat secara percuma dan tidak mengharapkan sebarang gaji kerana bermatlamat hanya ingin menyelamatkan negara dan menolong rakyat melalui pengalaman yang dimiliki sebelum ini.

Meskipun tidak memperincikan bagaimana mereka boleh mengambil alih kerajaan dan menerajui negara, tetapi adalah difahami bahawa ia tentulah bersandarkan keyakinan mereka Belanjawan 2021 berkemungkinan akan ditolak dalam bacaan kali ketiga yang pengundiannya akan dilakukan hari ini.

Jika belanjawan gagal melepasi undi majoriti, bermakna kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin dikira tumbang dengan sendirinya.

Untuk menolak belanjawan, Tun Mahathir dan Ku Li menyeru semua 220 Ahli Parlimen membuat undian tanpa memikirkan kepentingan parti dan kedudukan masing-masing.

Sebaliknya, mereka menggesa semua Ahli Parlimen membuat keputusan demi kebaikan rakyat yang menerima impak negatif selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Dengan mengadakan sidang media dan menawarkan diri untuk mengembalikan kegemilangan negara, adalah jelas bahawa Tun Mahathir ingin menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Bermakna, setelah dua kali menjadi Perdana Menteri dan dua kali juga meletakkan jawatan, beliau yang kini berusia 95 tahun masih belum puas meneroka nikmat dunia yang cuma sementara ini.

Tetapi, jika diperhalusi, tindakan Tun Mahathir tampil bersama Ku Li semalam adalah tindakan politik yang mempunyai niat serampang empat mata.

Di sebalik menyatakan kerajaan sekarang tidak ada strategi untuk membawa dasar bagi membela rakyat, tetapi hanya terlibat dengan politik untuk kepentingan diri sendiri semata-mata, penampilannya bersama Ku Li itu sendiri sebenarnya sarat dengan maksud politik.

Pertama, mengadakan sidang media secara bersama Ku Li menjelang kemungkinan kerajaan tumbang kerana Belanjawan 2021 ditolak untuk bacaan kali ketiga, Tun Mahathir telah berjaya mendahului Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk mempromosi dan menonjolkan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri.

Bersekali dengan PH yang juga mengeluarkan kenyataan media menolak pengundian belanjawan, kemungkinan Muhyiddin tidak dapat mengekalkan kedudukannya adalah tinggi.

Selain Ku Li yang secara terbuka menyatakan tidak akan mengundi, Presiden Pas, Hadi Awang juga tidak ada di Parlimen hari ini kerana berada di Perak mengadap Sultan Nazrin.

Ini bermakna, sementara Muhyiddin lebih mungkin tidak cukup undi dan dijatuhkan Anwar yang disokong PH pula turut berdepan kekurangan sokongan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Selain Ahli Parlimen Pejuang yang bersama Tun Mahathir, Ku Li sendiri, blok Warisan dan barangkali segelintir daripada DAP, Amanah serta UMNO yang tidak memberi sokongan kepada Anwar, mereka yang berkenaan mungkin lebih memihak kepada Tun Mahathir sendiri.

Daripada satu segi, menonjolkan dirinya awal itu Tun Mahathir telah berjaya mengganggu kelancaran Anwar menjadi Perdana Menteri yang diberitakan mendapat sokongan daripada beberapa Ahli Parlimen UMNO.

Perlu diingat, setiap kali ada ura-ura Anwar mahu mengambil alih kuasa, setiap kali itu jugalah Tun Mahathir akan muncul dengan pelbagai idea untuk menghalangnya.

Kedua, mengadakan sidang media bersama Ku Li semalam juga bermakna Tun Mahathir mahu menghalang kemaraan politik Ahli Parlimen Gua Musang itu sendiri.

Jika ditakdirkan berjaya memperolehi sokongan, sudah pastilah yang akan menjadi Perdana Menteri selepas ini adalah Tun Mahathir dan bukannya Ku Li.

Apatah lagi dengan ghairah menonjolkan pengalamannya selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri sebelum ini dan kejayaannya membawa negara menjadi “Harimau Asia”, Tun Mahathir seolah-olah mahu memberitahu beliaulah bakal Perdana Menteri buat kali ketiga, manakala Ku Li adalah calon Timbalan Perdana Menteri.

Selepas berjaya memegang kuasa, bolehkah dipercayai beliau akan memberi laluan mudah kepada Ku Li menjadi penggantinya?

Selepas berjaya menewaskan Ku Li pada pemilihan 1987 lalu dan kemudian menyekat kemasukan belas Menteri Kewangan itu ke dalam UMNO untuk sekian lama, Tun Mahathir jelas sekali lagi mahu melakukan sekatan terhadap bekas musuh politiknya itu.

Ketiga, dengan kemungkinan belanjawan ditolak dan Muhyiddin dijatuhkan, Tun Mahathir yang sedar kedudukan dirinya yang dibenci serta tidak disukai oleh pelbagai kelompok Ahli Parlimen, tetapi masih mahu kembali sebagai Perdana Menteri, ia mungkin memberi laluan lebih mudah bagi pengundian kali ketiga diluluskan.

Tidak mustahil ada Ahli Parlimen yang berpendirian daripada Muhyiddin dijatuhkan dan mungkin Tun Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri, lebih baiklah dikekalkan saja Presiden Bersatu di kerusinya sekarang.

Dengan pengundian akan diluluskan untuk Muhyiddin aka terus dikekalkan menerajui negara ini.

Walaupun dengan itu Muhyiddin akan terus menjadi Perdana Menteri, ia bukan masalah besar bagi Tun Mahathir.

Masalah besar bagi Tun Mahathir hanyalah jika Anwar atau Ku Li, dua pemimpin yang pernah menjadi musuh politiknya dapat menjadi Perdana Menteri ketika beliau masih lagi bernyawa.

Keempat, dengan berjaya menjadikan Munyiddin terus kekal berkuasa dan Anwar serta Ku Li disekat kemaraannya, Tun Mahathir juga berjaya menyekat seorang lagi musuhnya, Najib Razak daripada bernafas semula dalam politik selepas ini.

Bagi Tun Mahathir, meskipun beliau tidak berjaya berkuasa semula buat kali ketiga ini, kejayaan dapat menyekat kemaraan semua musuh-musuh politiknya itu adalah suatu kepuasan tak terhingga buat dirinya.


 (Shahbudindotcom 15/12/2020)