KEPUTUSAN YANG MERUGIKAN NEGARA SEBENARNYA



ZUBAIDI SUDIN

GANTI rugi AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) oleh bank pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs (GS) berkaitan penyelewengan 1MDB yang diuar-uarkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kejayaan adalah sebenarnya keputusan yang merugikan negara.

Ia adalah akibat sikap terlalu tergesa-gesa Kerajaan PN, khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Mohd Yassin dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Mereka sepatutnya meneruskan tindakan undang-undang ke atas GS yang dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) beberapa bulan selepas menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei 2018.

Skandal 1MDB adalah kempen utama PH bagi menjatuhkan pemerintahan kleptokrasi BN pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak. Kleptokrasi ertinya kerajaan yang mencuri duit rakyat jelata.

Jadi yang lebih tahu mengenai tuntutan ke atas GS ini adalah Kerajaan PH bukan kerajaan tebuk atap PN yang baru berusia enam bulan. Label tebuk atap adalah ciptaan Presiden Pas merangkap Duta Khas Bertaraf Menteri ke Timur Tengah, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sesiapa saja yang menghalusi dan memahami tuntutan dan tindakan undang-undang ke atas GS itu tentu mengakui bahawa penyelesaian AS$3.9 bilion itu lebih berupa “ego trip” Kerajaan PN daripada penyelesaian sebenar.

Malah pihak-pihak yang terlibat dalam rundingan belakang tabir dengan GS dan pihak Arab di negara-negara Teluk menyifatkan penyelesaian itu sebagai tergesa-gesa.
Akibatnya, kata salah seorang daripada mereka, kerajaan sanggup kehilangan AS$5 bilion semata-mata kerana mahukan penyelesaian segera.

Bagi GS, penyelesaian ini adalah ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Yang ditakuti oleh GS bukanlah ganti rugi tetapi tindakan mahkamah oleh Kerajaan Malaysia dan penyiasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ).