Kerajaan guna syarikat AS bina aplikasi MySejahtera, selamatkah data?
Kerajaan Malaysia digesa mengesahkan sama ada mereka menggunakan kepakaran syarikat asing dalam membangunkan aplikasi MySejahtera dan beberapa aplikasi lain berkaitan pemerintah.
NEF hari ini menyuarakan pendapat mereka serta mendesak agar kerajaan menyokong syarikat ICT tempatan berbanding bergantung kepada syarikat luar negara
Menurut NEF, sejumlah projek berskala besar dianugerahkan kepada syarikat asing dan bukannya syarikat tempatan.
Antara yang disentuh oleh pihak NEF adalah termasuk aplikasi MySejahtera yang dibangunkan dengan usahasama syarikat luar negara, laman DELIMa untuk pendidikan yang kurang mengetengahkan kandungan digital tempatan, projek MyFutureJobs oleh Perkeso yang menggunakan kepakaran teknologi dari Netherlands, dan beberapa yang lain.
Contoh pertama, MySejahtera yang dibangunkan dengan usahasama syarikat luar negara, KPISoft Inc dari Amerika Syarikat dan juga mempunyai ibu pejabat Asia di Singapura, untuk pengesanan kontak COVID-19 .
Contoh kedua, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini melancarkan laman web DELIMa (Digital Education Learning Initiative Malaysia) di mana solusi dan kandungan digital tempatan langsung tidak diketengahkan.
Contoh ketiga, antara projek di bawah Penjana adalah MyFutureJobs oleh PERKESO yang menggunakan kepakaran teknologi dari Netherland.
Contoh keempat, lagi projek di bawah Penjana mengenepikan pembangun teknologi e-commerce tempatan seperti yang disuarakan oleh SME Association of Malaysia.
Contoh kelima, seperti yang pernah kami suarakan awal tahun dahulu, program Geran Pendigitalan SME sewajarnya mengutamakan pembangun perisian tempatan bagi SME yang menuntut geran padanan.
Selari dengannya, NEF mencadangkan agensi kerajaan dan kementerian untuk membuat proses ketelitian wajar yang lebih menyeluruh dalam proses perolehan supaya memberikan keutamaan kepada syarikat induk yang dimiliki rakyat Malaysia, membuat proses libat urus bersama syarikat tempatan terlebih dahulu, selain menggubal dasar rasmi untuk memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan.
Pihak NEF turut melancarkan kempen baru dinamakan #MalaysianTechFirst, dan akan memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia berkenaan dengan isu ini.