MENGENAI PETRONAS
Baru-baru ini syarikat gergasi minyak negara kita, Petronas kehilangan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang telah meletakkan jawatan lebih awal dari tarikh kontraknya yang sepatutnya berakhir pada bulan April 2021.
Setelah berkhidmat hampir 4 dasawarsa dalam Petronas, perletakan jawatannya itu ternyata mengundang banyak persoalan.
Petronas juga telah menyangkal laporan oleh agensi berita Reuters yang mendakwa perletakan jawatan tersebut berkait rapat dengan kerajaan negeri Sarawak.
Sebagai syarikat yang bertanggungjawab menyelia khazanah dan hasil negara, rakyat jelas tertanya-tanya apakah rencana sebenar di sebalik perletakan jawatan tersebut dan ini mesti dijelas dan diperincikan tanpa lengah oleh pihak Petronas.
Apakah ada campurtangan kerajaan?
Badan penarafan dunia S&P Global Ratings baru-baru ini juga telah membuat penilaian semula unjuran Malaysia dan Petronas dari stabil ke negatif.
Apa yang dibimbangi badan tersebut adalah mengenai campurtangan kerajaan dalam Petronas. Ia juga menggesa agar dijelaskan berkaitan bayaran yang dibuat kepada Sarawak.
Ketidakstabilan di Petronas telah memberi dampak yang negatif kepada ekonomi negara dan mengesankan para pelabur antarabangsa.
Gabungan pembangkang menuntut penjelasan menyeluruh dan tuntas terkait isu ini.
Kegagalan Petronas untuk meleraikan persoalan-persoalan ini akan mengundang ketidakpercayaan yang akan mengeruhkan lagi keadaan semasa.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang