Tidak perlu PRU mengejut waktu Covid 19 – AMK
Spekulasi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 5 akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan ketidaktentuan politik semakin menjadi-jadi apabila pihak Muafakat Nasional melancarkan perang saraf bahawa mereka telah bersdia dan akan menang mudah pilihan raya berkenaan.
Bagi Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Syed Badli Shah Syed Osman, idea mengadakan PRU ketika wabak Covid 19 masih bergejala adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, rakyat tidak seharusnya diheret dalam sengketa politik negara dan merisikokan kesihatan umum melalui proses kempen politik dan pembuangan undi sepanjang PRU.
“PRU hanya akan menyusahkan rakyat dan membazirkan duit negara. Perbelanjaan mengadakan PRU bukanlah kecil dan prosesnya juga sukar.
“Dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan pemulihan Covid-19, seharusnya segala tumpuan adalah untuk memulihkan keadaan dan ekonomi negara,” kata Syed Badli dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak stabil, peluang wajar diberikan semula kepada Pakatan Harapan (PH) untuk kembali memerintah negara tanpa melalui PRU.
Menurutnya, PH tidak menyokong PRU diadakan sebagaimana gabungan itu menarik diri daripada meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.
“PH telah membuat keputusan yang tepat dengan menarik diri dari bertanding pada PRK DUN Chini sekaligus memberikan isyarat bahawa tiada keperluan untuk mengadakan PRU buat masa sekarang.
“Justeru itu jika berpeluang, mandat pemerintahan perlu dikembalikan semula kepada PH mengikut saluran yang betul.
“PH perlu kembali mengemudi negara sehingga selesai tempoh mandat yang diberikan (dalam PRU 2018),” katanya lagi.
Untuk rekod, PRU 14 pada 2018 lalu menelan belanja melebihi RM600 juta. Menurut pakar, kos untuk melaksanakan PRU dalam musim Covid 19 mungkin menjangkau RM1 bilion dan hari mengundi selama 2 hari memandangkan pelbagai prosedur yang lebih rumit terpaksa dilaksanakan.