Usul Tidak Percaya terhadap Muhyiddin cipta sejarah baharu
Usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin walaupun dijangka tidak akan dibahas dalam sidang sehari pada 18 Mei ini tetap mencipta satu sejarah baharu di Malaysia
Menurut penganalisis politik, situasi dramatik apabila usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri dibuat oleh Ahli Parlimen dari parti yang sama.
Bagi penyelidik di Jeffrey Sachs Centre of Sustainable Development, Wong Chin Huat, usul yang pernah dibentang sebelum ini ialah undi percaya terhadap Tun Hussein Onn.
“Undi percaya pertama kali diusul di Dewan Rakyat terhadap perdana menteri ketiga, Hussein Onn, pada 1976,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Sebelas hari selepas dilantik jadi perdana menteri berikutan kematian Abdul Razak Hussein akibat barah pada 1976, Hussein Onn mengadakan sidang tergempar Parlimen untuk mendapatkan undi percaya terhadap kepemimpinannya.
Bagaimanapun, usul undi tidak percaya oleh Dr Mahathir terhadap Muhyiddin membawa implikasi yang lebih besar, kata Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.
“Usul ini mencetus persoalan tentang sokongan terhadap Muhyiddin dalam partinya sendiri, kerana usul bukan dari ahli biasa, tetapi pengerusi parti itu sendiri,” kata Mazlan.
Menurutnya, tindakan Dr Mahathir dan dua Ahli Parlimen dari Warisan, Liew Vui Keong dan Mohd Shafie Apdal, sudah dijangka.
“Mereka bukan sahaja mahu menguji sokongan Muhyiddin di Dewan Rakyat tetapi juga mahu tunjukkan bahawa Dr Mahathir adalah calon pilihan bagi perdana menteri, bukan Anwar Ibrahim,” pensyarah sains politik itu.
Katanya, jika usul Dr Mahathir ke atas Muhyiddin isyarat jelas perselisihan mereka, usul percaya terhadap bekas perdana menteri berusia 94 tahun itu menunjukkan kecederungan sokongan Warisan.
“Beliau mahu semua orang tahu, termasuk Pakatan Harapan, bahawa partinya menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan bukannya Anwar.
“Usul Liew untuk mengekalkan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof adalah satu lagi isyarat Dr Mahathir kepada rakyat,” tambah Mazlan.
Ariff menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, dan menolak dua usul Warisan iaitu beliau kekal sebagai speaker sehingga akhir penggal Parlimen ke-14 dan usul percaya terhadap Dr Mahathir.
Bagaimanapun, Mazlan dan Wong bersetuju usul tidak percaya akan meningkatkan lagi kemungkinan berlaku usaha menarik sokongan dalam tempoh 10 hari sebelum sidang Dewan Rakyat
“Muhyiddin kini tersepit. Kalau gagal (dapat sokongan majoriti), beliau sama ada perlu letak jawatan atau bubar Parlimen bagi membolehkan pilihan raya baharu diadakan. Tetapi partinya, Bersatu, tidak boleh menang dalam pilihan raya baharu,” katanya.