NEGARAKU..NEGARAMU

(I)
Inilah negara ku, negara mu sekarang
Kononnya negara hukum yang adil
Kamu boleh lakukan jenayah
Mengubah wang haram
Kemudian pulangkan sebahagiannya
Dan engkau bisa lepas
Keluar mahkamah berlenggang riang
Ketawa tersenyum menuju ke bank
(II)
Malaysia ku, Malaysia mu
Kini tidak perlu lagi
Orang-orang profesional belajar
Tinggi-tinggi di universiti
Tidak perlu lagi
Ukuran merit, bijaksana dan amanah
Semua lembaga dan syarikat milik pemerintah
Serahkan saja kepada sang politikus uruskan
Kerana mereka ahli-ahli Dewan Rakyat
Yang setianya perlu diikat
Dengan jawatan dan ganjaran
(III)
Lihatlah apa yang terjadi
Pada parlimen negara ku, negara mu jua
Tinggi anggun tegak di atas bukit
Mencecah awan di langit
Tapi bersidang minggu lalu hanya beberapa minit
Namanya istiadat pembukaan
Sekadar mendengar titah ucapan
Perdana Menteri mu, Perdana Menteri ku jua
Takut bukan main
Pada bayangan gelapnya sendiri
Bimbang kerajaan pintu belakangnya tumbang
Hilang kepercayaan
Justeru tiga kali jadual sidang alami pindaan
(IV)
Maka inilah yang terjadi
Pada negara mu, negara ku sekarang
Yang menang jadi pembangkang
Yang kalah jadi kerajaan
Aneh bukan?
Suatu sistem demokrasi yang tunggang langgang
(V)
Jadi, angkara siapa ini semua?
Tidakkah kisah Si Kitol berulang semula?
Melaka jatuh ke tangan Portugis kerananya
Kini Sang Pengkhianat berpakat-pakat
jamuan makan malam besar di Hotel Sheraton
Mereka berkonspirasi meruntun mandat rakyat
tanpa kasihan belas
Di tengah-tengah badai puaka Covid-19
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Selasa 26 Mei 2020.