Tradisi tegur-menegur, semak-imbang di waktu genting

Tradisi tegur-menegur, semak-imbang di waktu genting



Saya akui, memang benar, bukan sahaja negara berdepan ujian maha dahsyat, malah seluruh planet bumi ini merupakan zon perang yang menakutkan. Kita bertempur dengan musuh berbahaya yang tidak kelihatan. Mangsa tumbang seorang demi seorang tanpa kesan peluru. Tiada letupan bom atau ledakan serangan pesawat tempur. Tiada penawar atau ubat yang mampu merawat.
Keutamaan sekarang adalah saling memperkukuh keupayaan dan melengkap persiapan melawan virus, khasnya memutuskan rangkaian penyakit dan menurunkan segera kadar kes-kes baru. Impak sosio-ekonomi yang dahsyat harus diminimumkan. Alhamdulillah, kita saksikan reaksi masyarakat untuk turut sama menyumbang meringankan bebanan begitu baik sekali. Bantuan makanan serta peralatan kesihatanndiusahakan dengan pantas, termasuk oleh NGO dan pemimpin masyarakat. Pihak kerajaan juga segera melancarkan pakej rangsangan ekonomi.
Saya sekadar ingin mengingatkan, menginsafi kita semua berdepan situasi genting umpama menentukan hidup dan mati, tidak bermakna harus menerima begitu sahaja dasar atau program pemerintah yang bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. Kritikan balas adalah proses percambahan idea bagi menyaring resolusi terbaik dan mengelak kesilapan polisi berulang. Negara maju sendiri terdedah dengan kealpaan daripada unjuran luar jangka.
Sementara kita mengalu-alukan dan menyambut baik pakej RM250 bilion itu, usaha pengawasan dan penyeliaan yang telus serta bertanggungjawab tidak sesekali boleh diremehkan. Proses semakan Parlimen, apatah lagi membabitkan belanjawan tambahan yang begitu besar, mesti dipatuhi. Malah polemik awal yang mengatakan dana sebenar yang dikeluarkan kerajaan hanya sekitar RM22 bilion (tidak sampai 10 peratus seperti diumumkan Muhyiddin Yassin) menunjukkan ia perlu diperdebatkan di Dewan Rakyat. Tidak bererti program rangsangan ini perlu ditangguhkan. Ia bagi menghasilkan keputusan terbaik dicapai, juga memastikan proses implementasi tidak diganggu kebocoran dan ketirisan.
Sidang Parlimen yang dijadualkan baru-baru ini telah ditangguhkan sehingga pertengahan Mei depan, khabarnya kerana “kerajaan pintu belakang” bimbang untuk berdepan undi tidak percaya kepada perdana menteri. Sewajarnya sidang tergempar dipanggil untuk membahaskan pakej rangsangan ekonomi RM250 bilion itu memandangkan prosedur ini melengkapi amalan demokrasi negara.
Sesuatu yang ironis apabila pihak tertentu berang dan tidak senang dengan mesej yang dilihat sarat politik, terutama mengandungi kritikan atau pandangan kedua terhadap pemerintah. Walhal, dahulu kelompok mereka juga yang mempolitikkan apa juga isu dan insiden bagi menyebar-luaskan tohmahan bahawa kerajaan PH bersikap anti-Islam dan menganaktirikan Melayu. Menteri DAP dituduh kononnnya menguasai Puterajaya, manakala anggota pentadbiran Melayu – malah perdana menteri Dr Mahathir — setakat menjadi khadam ekstremis Cina. Kematian Adib, menteri kewangan DAP, isu Tabung Haji, penjualan aset tertentu, subjek Jawi, bantuan zakat, pembangunan Kampong Baharu, status Jakim, dan rentetan isu-isu sensitif lainnya dipakejkan bagi menggambarkan Melayu dan instutusi berkaitan dalam keadaan terancam. Pakatan Harapan ditohmah sebagai pengkhianat bangsa dan umat.
Sepatutnya di waktu kritikal dan menghampiri darurat ini, semua pihak berkepentingan, khususnya wakil rakyat yang mendapat mandat sah, di peringkat negeri dan persekutuan, digembleng secara sistematik tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian. Dana bantuan yang terputus, wajar disalurkan semula. Eksperimen getir ini tidak pernah berlaku, justeru kita tandus pengalaman, dengan itu segala sumber perlu dikongsi. Sedikit kesilapan mungkin mengundang padah dan bencana lebih buruk. Idea dan buah fikir terbaik, insya Allah membawa manfaat untuk semua, selain tulus mengharapkan Reda dan Rahmat Ilahi.
Wabak Covid-19 yang tidak terduga ini menginsafkan setiap individu tanpa kecuali seorang pun, akan kekerdilan insan yang cukup lemah dan amat bergantung kepada kekuasaan Allah. Masing-masing tidak boleh selamat hanya dengan ikhtiar diri sendiri semata-mata. Dunia ini begitu kecil di bawah genggaman Tuhan Yang Maha Agung. Moga ujian ini segera diangkat, ya Rabb.