Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nelayan dan petani adalah antara pihak yang sengsara apabila pemborong tidak dapat membeli hasil tangkapan dan tuaian mereka.
Hasilnya sebahagian dari mereka terpaksa membuang hasil tangkapan manakala sayur-sayuran yang ditanam terpaksa dibuang begitu saja.
Sebahagiannya pula terpaksa memberikan hasil usaha mereka selama ini secara percuma kepada orang ramai kerana ia berlebihan selepas rantaian pengedaran hasil mereka terputus akibat PKP.
Perkara ini turut dirasai oleh nelayan dan petani di Parit Buntar, Perak kawasan di mana ahli parlimen mereka adalah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, mantan Menteri Agama.
80% dari penduduk di kawasan beliau adalah tergolong dalam rakyat luar bandar yang kerja mereka adalah petani dan nelayan.
Menyedari hakikat inilah, Mujahid mengambil inisiatif dengan menyelamatkan mereka dan mempastikan hasil tangkapan dan tuaian petani sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Apa yang saya buat adalah saya memborong hasil tangkapan mereka dan sayur-sayuran petani dengan harga biasa dan saya bahagikan kepada pihak yang memerlukan.
“Sememangnya golongan yang memerlukan ikan dan sayuran ini ramai di kawasan saya kerana ramai yang hilang pekerjaan selepas PKP ini,” kata Mujahid dalam wawancara khas dengan Jom Channel, sebuah stesen TV Internet.
Menurut Mujahid, semalam beliau memborong satu lori ikan dari nelayan di Parit Buntar dan diedarkan kepada orang ramai yang memerlukannya.
“Saya tidak hantar terus kepada mereka kecuali yang perlu sahaja. Di bawah saya ada dua Dun. Jadi saya hantar ke pejabat dua Dun ini serta Pusat Khidmat saya.
“Dari situ, wakil-wakil cawangan AMANAH di seluruh Parit Buntar ini akan datang ambil untuk diedarkan kepada orang ramai yang memerlukan di kampung mereka,” kata Mujahid.
Antara pihak yang disantuni secara langsung oleh Mujahid adalah petugas barisan depan termasuk polis, askar dan jururawat.
Mujahid sedar, ketika tugas sebagai ahli parlimen perlu dijalankan, arahan kerajaan melalui PKP juga perlu dipatuhi.