Bukan masa untuk suara Doraemon, Rina sila letak jawatanOleh: Redzuan RF8 Media
Saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun semalam agar para isteri mengurangkan leteran lantas meniru suara watak animasi Doraemon bagi memujuk pasangan yang kurang kerjasama seolah-olah merendahkan martabat wanita.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, cadangan tersebut amat dangkal dan tidak wajar diucapkan oleh seorang menteri di tengah-tengah situasi wabak Covid 19 yang masih mengganas.
Menurut beliau, sekiranya Rina tidak mempunyai idea untuk memperkatakan sesuatu maka lebih baik beliau mengundurkan diri.
“Sebaiknya (dia) melepaskan jawatan menteri jika tidak serius dalam membantu golongan sasar di bawah kementerian berkenaan.
“Saranan kementerian para isteri mengurangkan leteran dan meniru suara watak animasi Doraemon memujuk pasangan yang kurang kerjasama adalah dangkal.
“(Sepatutnya) keganasan rumah tangga dan penderaan terhadap kanak-kanak menjadi objektif utama Kementerian. Tambahan pada waktu Perintah Kawal Pergerakan (PKP) yang mana mungkin menyebabkan pertambahan kes keganasan rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan.
Syed Badli Shah Mantan Setiausaha Akhbar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini juga mendakwa cadangan Rina itu seolah-olah mempersendakan kaum wanita yang berhadapan dengan suami kurang prihatin. Bahkan menjadi bahan lelucon masyarakat umum.
“Seharusnya kementerian fokus kepada permasalahan ibu tunggal yang kurang pendapatan, warga JKM yang menjadi barisan hadapan bagi memerangi Covid-19, warga tua dan juga orang kurang upaya yang memerlukan bantuan.
Kementerian Wanita kini dilihat hilang fokus dan gagal mengekalkan prestasi cemerlang ketika pemerintahan Pakatan Harapan,” katanya lagi.
Sebelum ini, beberapa tokoh pejuang hak wanita mengkritik saranan Rina yang tidak menampakkan pembelaan terhadap golongan itu.
Pengarah eksekutif Organisasi Pertolongan Wanita (WAO) Sumitra Visvanathan misalnya berkata, sejak hari pertama PKP, ramai wanita menghubungi pihaknya bagi mendapatkan perlindungan daripada keganasan domestik.
“Menteri (Rina Harun) seharusnya memastikan mangsa keganasan domestik mempunyai tempat sokongan dan melindungi mereka, termasuk bekerjasama dengan polis menyelamatkan mereka apabila ia sangat diperlukan.
“Kementerian menunjukkan bahawa mereka telah hilang sentuhan dengan peranan asas mereka melindungi wanita dan bukannya menguatkan lagi stereotaip tentang penampilan wanita,” kata beliau.
Sementara, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh turut mengkritik Rina serta timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusoff kerana “benar-benar terpisah” daripada realiti yang dihadapi oleh wanita Malaysia.