Keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi berhubung soal peralihan kuasa benar-benar sesuatu yang mengecewakan hati rakyat.
Walaupun ramai yang menjangka peralihan kuasa akan berlaku selepas Sidang Apec, November depan berikutan tolak ansur Anwar Ibrahim, tetapi adalah sesuatu yang diluar jangkaan bagaimana penentuan tarikh serah kuasa akhirnya diserahkan kepada Tun Mahathir Mohamad menentukannya.
Dengan bongkak dan sombongnya, Tun Mahathir kemudian berkata, terpulang kepada beliau bila mahu melakukan serah kuasa kepada Anwar.
“Akhirnya semuanya diserah kepada saya. Apa yang saya cakap mereka akan turut. Peralihan kuasa akan berlaku selepas Apec.
“Tiada tempoh masa (timeframe), terpulang kepada saya sama ada saya nak lepas atau tidak. Itulah kepercayaan dipersetujui oleh Majlis Presiden,” katanya lagi.
Dalam usia menuju 95 tahun, Tun Mahathir tanpa berselindung telah memperlihatkan sisi tamak dan rakus kuasa yang ada dalam dirinya.
Dengan berkeras mahu berundur selepas Sidang Apec dan tiada tarikh khusus peralihan kuasa ditetapkan, Tun Mahathir dengan jelas telah memungkiri janjinya sendiri untuk menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja.
Sekarang, dengan persetujuan memberinya masa memegang jawatan selama dua tahun setengah sehingga Sidang Apec dan menyerahkan pula kepadanya menentukan bila mahu melakukan peralihan kuasa, sama ada Tun Mahathir benar-benar akan menunaikannya janjinya terus kabur dan kelabu sebagaimana kaburnya video seks sejenis yang dikaitkan dengan Azmin Ali.
Tidak mustahil bila selesai Sidang Apec nanti, lain pula belit dan alasannya untuk terus bertakhta sebagai orang paling berkuasa di negara ini.
Hakikatnya, cakap dan janji Tun Mahathir memang tidak boleh dipegang dan dipercayai sama sekali.
Beliau mungkin boleh berhenti makan sebelum kenyang, tetapi dalam bab kuasa, kerakusan dan ketamakannya ternampak tidak pernah cukup dan sentiasa membuatnya lapar.
Dengan keputusan malam tadi, bukan saja PH berisiko terus bermasalah dan terumbang-ambing dengan ketidaktentuan serta ketidakstabilan yang lebih berpanjangan, bahkan zaman gelap untuk negara juga akan berterusan dengan lebih lama lagi.
Setelah hampir dua tahun tanpa kemajuan dalam ekonomi dan keselesaan kepada rakyat dibawah pimpinannya, lebih lama Tun Mahathir berkuasa, bermakna lebih lama tiada kemajuan dan keselesaan untuk rakyat negara ini.
Dalam kepala Tun Mahathir hanya memikirkan soal politik dan bagaimana untuk terus berkuasa serta menampakkan keinginan memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar.
Penerimaan Anwar dan keluarganya kepada Tun Mahathir selama ini terlihat hanya sia-sia serta penonjolannya seolah-olah sudah insaf sebelum PRU14 lalu tidak lebih sebuah sandiwara untuk mengejar kuasa semata-mata.
Tun Mahathir bukan saja seorang yang tidak mengenang budi baik serta pengorbanan orang lain terhadapnya, sebaliknya keutamaannya adalah untuk kekal berkuasa seberapa lama yang mampu, mungkin sehingga dirinya tidak lagi berdaya atau sehingga Tuhan menjemputnya ke dunia lain yang kekal abadi. (ShahbudinHusin 22/02/2020)