Selain Najib Razak yang bakal menjadi halangan untuk UMNO bekerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad membentuk sebuah kerajaan baru yang tujuan utamanya hanyalah mengekalkan “situa” itu lebih lama sebagai Perdana Menteri, rintangan lain ialah majoriti ahli-ahli UMNO nampaknya tidak bersetuju dengan kerjasama itu.
Beberapa pemimpin UMNO peringkat bahagian yang diminta pendapat mereka, rata-rata menolak penggabungan atau kerjasama dengan Pengerusi Bersatu itu.
Kata mereka, untuk apa UMNO mahu bekerjasama yang tujuannya hanya untuk mengekalkan lagi Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, sedangkan beliau bukan saja pernah menghina parti itu, malah menumbangkannya pada PRU14 lalu?
Apa bodoh sangat pemimpin UMNO yang mahu bekerjasama dengan Tun Mahathir itu?
Di mana prinsip, maruah serta harga diri mereka yang mengetuai UMNO sekarang ini?
Pemimpin yang diminta pendapat itu juga hairan jika pemimpin atasan UMNO begitu mudah percaya kepada Tun Mahathir yang sebenarnya hanya ingin menyelamatkan dirinya daripada akur kepada janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim yang pada asasnya adalah dipersetujuinya sendiri.
Lagi pun, tambah mereka, jika PH pun ditipunya, janji manifesto juga ditipu, PKR turut ditipu di mana senarai menteri yang dicadang tidak dipilihnya dan Anwar mungkin bakal ditipu dengan janji peralihan kuasa yang mahu diengkari, untuk apa UMNO sedia menadah muka untuk ditipu sama oleh Tun Mahathir?
Apakah jaminannya setelah dirinya selamat nanti, pemimpin UMNO yang menyelamatkannya itu tidak ditipunya juga?
Sepatutnya, tambah mereka, jika pun Tun Mahathir ingin mengengkari janji peralihan kuasa kepada Anwar itu, UMNO jangan terlibat sama sekali dan membiarkan saja perkara itu berlaku dalam kerangka PH semata-mata.
Ini kerana, kalau Tun Mahathir mungkir terhadapnya janji itu, yang untung akhirnya ialah UMNO juga.
Tetapi, dengan sedia bekerjasama, belum tentu UMNO akan mendapat untung, sebaliknya yang pasti untung hanyalah Tun Mahathir, anak-anak serta kroninya saja.
Dalam pada itu, pemimpin peringkat bahagian itu juga melihat peluang UMNO bersama parti-parti pembangkang lain untuk menang PRU akan datang adalah cerah berdasarkan keputusan PRK Tanjung Piai dan Kimanis, baru-baru ini.
Oleh itu, tegas mereka, adalah lebih baik UMNO bersabar sedikit menunggu ketibaan PRU15 akan datang yang tempohnya bukanlah lama sangat daripada sekarang.
Meskipun mereka turut menyedari penyelesaian kes mahkamah yang dihadapi oleh Zahid Hamidi adalah umpan untuk menjadikan kerjasama itu sebagai kenyataan, mereka juga mahu pemimpin parti Melayu terbesar itu tidak mudah menjual maruah semata-mata untuk menyelamatkan diri sendiri.
Jika itu yang berlaku, mereka yakin, UMNO selepas ini akan lebih ditolak dan tidak dipercayai lagi oleh rakyat.
Tambahan lagi, ujar mereka juga, parti Tun Mahathir adalah parti kecil dengan jumlah keahlian sekitar 300 ribu berbanding ahli UMNO lebih 3 juta ramainya.
Dengan demikian, kenapa mahu dibiarkan ular lidi menelan ular sawa?
Sehubungan itu, pendirian ahli UMNO akar umbi ialah menolak sebarang bentuk kerjasama bagi membentuk kerajaan baru yang menjadi bualan sekarang dan mahu UMNO terus berjuang serta melawan PH dan Tun Mahathir dalam PRU15 akan datang. (ShahbudinHusin 03/02/2020)